Gambar hiasan

IPOH – Dua beradik ditemui mati lemas di sebuah kolam renang di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, mangsa yang lemas merupakan seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun manakala adik lelakinya berusia lapan tahun.

Mengulas mengenai kejadian, Yahaya berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung insiden itu pada jam 6.10 petang.

“Kedua-dua mangsa yang berasal dari Ipoh itu dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital.

“Proses bedah siasat dijalankan hari ini bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Yahaya, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) iaitu kerana mengabaikan, mendedahkan kanak-kanak dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

“Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan orang ramai khususnya ibu bapa serta penjaga agar tidak mendedahkan kanak-kanak kepada aktiviti yang mungkin mendatangkan bahaya bagi mengelak sebarang tragedi yang tidak diingini,” kata beliau. – MalaysiaGazette