Lim Guan Eng.-Foto AFFAN FAUZI, 05 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan diingatkan supaya berhati-hati dalam menerima sebarang cadangan bagi menyenaraikan Petronas melalui tawaran awam permulaan (IPO).

Langkah itu adalah bagi mengelak Malaysia kehilangan kuasa pemilikan firma minyak negara itu, kata Lim Guan Eng (PH-Bagan).

Menurutnya, Petronas adalah khazanah negara yang harus dimiliki rakyat Malaysia secara langsung dan sebarang pengapungan saham harus diberikan balik kepada rakyat khususnya negeri pengeluar minyak supaya kuasa pemilikan tetap berada di tangan rakyat.

“Itulah sebabnya saya sebut kita kena berhati-hati kerana Petronas harus dimiliki 100 peratus rakyat Malaysia dan jika kita kehilangan kuasa pemilikan, ia akan menjejaskan satu rizab strategik negara.

“Bukan sahaja rizab strategik negara tetapi, lebih penting lagi ialah satu khazanah yang saya rasa tidak boleh diganti dengan sumber lain.

“Jadi, saya bersetuju dengan Titiwangsa mengenai perkara ini bahawa kita harus berhati-hati,” katanya ketika membahaskan usul Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab celahan Datuk Seri Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa) sama ada Guan Eng bersetuju sekiranya saham Petronas diapung di mana ia akan menjejaskan pendapatan kerajaan untuk jangka masa panjang.

Mengulas lanjut, Guan Eng menjelaskan, menggunakan Petronas untuk melangsaikan hutang kerajaan sebenarnya mengalihkan kebertanggungjawaban pihak yang membuat pinjaman.

Justeru katanya, kerajaan perlu menyelesaikan hutang yang dipinjamkan dan bukan bergantung kepada Petronas untuk berbuat demikian. – MalaysiaGazette