Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub bersama timbalannya, Fuziah Salleh (kanan) melihat barangan bakul Rahmah pada Majlis Pelancaran Inisiatif Bakul Rahmah dan pelepasan Lori Rahmah di Menara SSM@Sentral, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 27 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR –  Kira-kira 37,373 isi rumah dalam kategori miskin tegar (B10) akan menerima Bakul Rahmah berisi barang keperluan asas setiap bulan, bermula hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, jumlah berkenaan bersamaan 30 peratus sasaran kementeriannya daripada jumlah keseluruhan isi rumah kumpulan tersebut yang akan mendapat manfaat daripada inisiatif berkenaan secara berperingkat.

Ujar beliau, inisiatif berkenaan berbeza daripada yang lain kerana khusus  membantu golongan miskin tegar dalam negara.

“Ada sedikit kelainan tentang Bakul Rahmah kerana ia fokus, hanya diberikan kepada kategori miskin tegar di mana kalau mengikut statistik setakat Disember 2022, sebanyak 127,000 isi rumah yang dikategorikan sebagai miskin tegar. Data ini daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Pelancaran Inisiatif Bakul Rahmah di Menara Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh.

Mengulas lanjut Salahuddin berkata, Bakul Rahmah akan diagihkan di Pejabat atau Pusat Perkhidmatan Ahli Dewan Undangan Negeri  (ADUN) dan Parlimen sebelum disampaikan terus kepada ketua isi rumah miskin tegar.

Sehubungan itu beliau berharap wakil rakyat bersikap jujur dalam memberikan data berkenaan kumpulan miskin tegar di kawasan masing-masing bagi mengelakkan berlakunya ketirisan.

“Sebagai wakil rakyat bertanggungjawab dibantu oleh jentera parti masing-masing dan penghulu, Ketua Kampung, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang dapat memberikan data yang jujur sebab ini bantuan khusus,” jelas beliau.

Sementara itu Salahuddin berkata, sehingga kini kerajaan tidak mengeluarkan wang untuk menggerakkan Bakul Rahmah, sebaliknya ia merupakan penglibatan pemain industri daripada pelbagai latar belakang yang memberikan sumbangan.

Salahuddin berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan oleh pelbagai pihak untuk bersama-sama dengan KPDN menjayakan inisiatif  ini.

“Macam hari ini Yayasan Global Mesra yang mengambil peranan penting. Inisiatif ini huga melibatkan  beberapa syarikat dan tokoh korporat, Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kebanyakan pasar raya yang menyuarakan hasrat mereka termasuk syarikat berkaitan kerajaan,” katanya.

Pada majlis sama, Salahuddin turut melepaskan lapan trak yang berisi kira-kira 2,000 kotak Bakul Rahmah untuk dihantar ke Perak, Kedah dan Perlis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast