Syafiq (kanan) dan adiknya Syazwan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tasek Gelugor, Pulau Pinang hari ini.

TASEK GELUGOR – “Pemergian dua adik secara serentak memberi kesan mendalam buat kami sekeluarga apatah lagi hubungan sesama kami amat rapat,”.

Demikian luah abang sulung kepada Mohamad Syafiq Yusof, 33, dan Mohamad Syazwan, 25, iaitu mangsa lemas di Pusat Rekreasi Air Terjun Sungai Sedim, Kedah semalam.

Menurut Mohamad Syafizul, adik kedua dan bongsu daripada empat beradiknya itu pergi ke Sedim bersama kenalan mereka untuk aktiviti sukan air (boat rafting).

“Mak ayah dapat panggilan mengenai kejadian yang menimpa dua adik saya dan ketika itu saya sedang bekerja.

“Bagaimanapun, ahli keluarga terkejut apabila dimaklumkan kedua-dua mereka lemas ketika mandi air terjun sedangkan mereka maklum pada kami pergi boat rafting.

“Kemudian baru dapat khabar dari rakannya, mereka sudah selesai boat rafting sebelum sambung aktiviti mandi di air terjun tersebut,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Mohamad Syafizul berkata, kedua-dua adiknya itu merupakan individu yang ringan tulang selain saling membantu antara satu sama lain.

“Kalau ikutkan kejadian semalam Syafiq bantu Syazwan itulah yang boleh saya beri gambaran kearaban kami sesama adik beradik.

“Apa pun kami reda dengan ketentuan Allah meskipun kehilangan sekali dua orang,” katanya sambil menambah dua adiknya itu masih bujang.

Tambahnya, jenazah kedua-dua mereka selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tasek Gelugor kira-kira jam 1 pagi tadi.

Media semalam melaporkan, tindakan seorang lelaki yang mahu menyelamatkan adiknya dalam pusaran air berakhir dengan tragedi apabila kedua-dua mereka ditemui lemas dalam kejadian di Pusat Rekreasi Air Terjun Sungai Sedim.

Mayat Mohamad Syafiq Yusof, 33, dan adiknya Mohamad Syazwan, 25, ditemui penduduk kampung di dasar sungai. – MalaysiaGazette