KUALA LUMPUR – Malaysia akan terus memperjuangkan hak umat Islam peringkat antarabangsa termasuk menangani isu Islamofobia melalui wadah diplomasi dua hala dan serantau, kata Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin.
Menurutnya, ia termasuk dalam menjaga kebajikan rakyat Palestin dan etnik Rohingya.
Beliau berkata, usaha tersebut akan dipergiatkan sekaligus menangani pelbagai cabaran antarabangsa dalam budaya yang damai.
“Usaha itu antaranya akan dilaksanakan melalui sesi dialog, komunikasi dan penekanan falsafah hidup bersama.
“Contohnya baru-baru ini Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir juga mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi dan mengambil kesempatan bertukar pandangan mengenai sentimen anti Islam di sesetengah tempat sejak kebelakangan ini.
“Pelaksanaan dasar luar negeri yang berkesan mampu menjadi pemangkin kepada ekonomi berdaya maju dan mampan sejajar dengan Malaysia Madani,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan, Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang meminta Menteri Luar Negeri menyatakan kerangka dasar luar Malaysia yang terkini mengambil kira perkembangan geopolitik semasa.
Dalam pada itu Mohamad berkata, Malaysia mengambil sikap berhati-hati, sekali gus tidak akan memihak kepada mana-mana kuasa besar sama ada China atau Amerika Syarikat.
Tambahnya, ia termasuk dalam persaingan mereka dalam isu membabitkan Laut China Selatan. – MalaysiaGazette