KUALA LUMPUR – Pelabur asing mengekalkan pembelian bersih ekuiti Malaysia untuk minggu kedua berturut-turut, menyaksikan aliran masuk asing bersih berjumlah RM246.2 juta, kata MIDF Research.

Menurut firma penyelidikan itu, pelabur asing telah membeli bersih setiap hari sepanjang urus niaga minggu lepas, dengan aliran masuk bersih paling tinggi dicatatkan pada Isnin dan Selasa, masing-masing sebanyak RM61.5 juta dan RM77.6 juta.

Selain itu, mereka turut membeli beli bersih membabitkan sejumlah RM48.2 juta pada Rabu, RM41.0 juta (Khamis) dan RM18.0 juta (Jumaat), pada Jumaat, katanya.

“Ini adalah belian bersih paling kukuh yang dilihat sejak minggu berakhir 11 Nov 2022,” katanya dalam Laporan Aliran Dananya untuk minggu dagangan berakhir 24 Feb.

MIDF Research menambah tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran masuk bersih daripada pelabur asing minggu lepas adalah perkhidmatan kewangan RM111.4 juta, tenaga (RM60.9 juta) dan penjagaan kesihatan (RM54.8 juta).

Sementara itu, tiga sektor terbawah dengan aliran keluar bersih adalah perladangan (-RM38.3 juta), produk dan perkhidmatan pengguna (-RM28.1 juta) dan hartanah (-RM11.6 juta).

Setakat tahun ini, pelabur asing telah menjual bersih berjumlah RM347.1 juta.

Firma penyelidikan itu berkata institusi tempatan mengekalkan pendirian jualan bersih mereka untuk minggu kedua berturut-turut, mencatatkan aliran keluar -RM379.1 juta minggu lepas.

“Mereka adalah penjual bersih setiap hari sepanjang minggu berkenaan, dengan jualan bersih paling tinggi pada Rabu sebanyak -RM143.0 juta. Jualan bersih yang dicatat mereka pula ialah -RM77.2 juta pada Isnin, -RM74.2 juta (Selasa), -RM72.8 juta (Khamis) dan -RM11.9 juta pada Jumaat,” katanya.

Dalam pada itu, peruncit tempatan kembali sebagai pembeli bersih minggu lepas, mencatatkan RM132.9 juta selepas menjadi penjual bersih minggu sebelumnya dengan merekodkan sebanyak -RM55.1 juta.

Ia menambah peruncit tempatan membeli bersih dengan mencatatkan sebanyak RM15.7 juta pada hari Isnin, RM94.8 juta (Rabu) dan RM31.8 juta (Khamis), manakala jualan bersih mereka pula berjumlah -RM3.4 juta dan -RM6.1 juta, masing-masing pada Selasa dan Jumaat.

Dari segi penyertaan, MIDF Research berkata terdapat peningkatan dalam purata jumlah dagangan harian dalam kalangan pelabur asing sebanyak 10 peratus, manakala pelabur runcit dan institusi tempatan menyaksikan penurunan masing-masing 0.7 peratus dan 4.0 peratus. – BERNAMA