Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Dakwaan wujud kem dalam kalangan calon yang menawarkan diri merebut jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti bulan depan cuma andaian, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau yang juga antara tujuh calon bagi merebut jawatan Naib Presiden berkata dakwaan wujud kem propresiden, antipresiden dan bebas dalam pencalonan bagi pertandingan kali ini juga cuma ‘pandangan dua atau tiga tokoh’.

“Saya sendiri tak tahu (wujud kem berbeza)… saya ingat ini (pertandingan Naib Presiden) terbuka kepada semua dan kita semua menawarkan diri untuk berkhidmat kepada parti jika diberikan peluang dan kepercayaan.

“Saya harap saingan dan pertandingan juga berjalan secara sihat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Malam Anugerah Kecemerlangan sempena Ulang Tahun Kedua Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di sini semalam.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Datuk Seri Johari Harun serta Datuk Bandar Kuantan Datuk Hamdan Hussin.

Selain Wan Rosdy, turut menawarkan diri bertanding bagi jawatan itu ialah dua penyandang Naib Presiden iaitu Ahli Parlimen Kota Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua UMNO Bahagian Padang Terap Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Turut menawarkan diri ialah Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Ahli Parlimen Simpang Renggam Datuk Seri Hasni Mohamad, Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Sementara itu, mengulas mengenai majlis berkenaan, Wan Rosdy berharap kejayaan MBK memperoleh 30 anugerah di pelbagai peringkat dalam tempoh dua tahun ‘bergelar’ bandar raya menjadi pendorong kepada MBK, majlis perbandaran dan majlis daerah di Pahang untuk meningkatkan sistem penyampaian awam dengan lebih efektif, kolektif dan berdaya saing.

“Kita tidak boleh mudah berpuas hati atau terus dalam keadaan status quo. Sebaliknya harus menggandakan usaha, mencari idea baharu yang lebih kreatif dan inovatif, berfikiran luar kotak serta mempunyai semangat berpasukan yang tinggi untuk terus berjaya,” katanya. – BERNAMA