Menara Public Bank

KUALA LUMPUR – Keuntungan bersih Public Bank Bhd naik kepada RM6.12 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Dis 2022 (tahun kewangan 2022) berbanding RM5.66 bilion setahun yang lepas, disokong oleh pertumbuhan pinjaman dan deposit pelanggan yang baik.

Perolehan pada tahun kewangan 2022 naik kepada RM21.43 bilion daripada RM19.62 bilion sebelum ini, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Menurut Public Bank, pinjaman kasar meningkat sebanyak RM18.9 bilion atau 5.3 peratus kepada RM376.9 bilion sehingga 31 Dis 2022, daripada RM358.0 bilion pada tahun lepas, sebahagian besarnya didorong oleh pertumbuhan dalam pembiayaan gadai janji dan pembiayaan sewa beli.

“Jumlah deposit daripada pelanggan naik sebanyak 3.8 peratus atau RM14.3 bilion kepada RM394.7 bilion sehingga 31 Dis 2022.

“Nisbah pinjaman susut nilai kasar kumpulan meningkat sedikit tetapi kekal baik pada 0.4 peratus sehingga 31 Dis 2022, sejajar dengan trend industri,” katanya.

Sementara itu, pada suku keempat tahun kewangan 2022, keuntungan bersihnya naik kepada RM1.71 bilion daripada RM1.38 bilion pada tahun sebelumnya manakala perolehan meningkat kepada RM6.06 bilion daripada RM4.86 bilion sebelum ini.

Mengenai prospek, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tan Sri Tay Ah Lek berkata cabaran ekonomi yang berterusan akan terus memberi kesan limpahan kepada sektor perbankan.

“Sentimen pengguna dan perniagaan akan terus terjejas oleh tekanan inflasi yang tinggi dan pertumbuhan global yang lembap.

“Bagaimanapun, prospek ekonomi Malaysia kekal positif dan ini akan terus menyokong persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan perniagaan perbankan,” katanya.

Berdasarkan kumpulan terus mengembangkan perniagaan perbankan runcit dan komersialnya, beliau berkata bank akan kekal fokus kepada transformasi digital, agenda kemampanan serta peningkatan kemahiran dan kemahiran semula kakitangan, untuk memastikan pertumbuhan pendapatan yang mampan dan melindungi kepentingan pihak berkepentingan pada setiap masa.

Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak 5.0 sen sesaham yang akan dibayar pada 22 Mac 2023, berdasarkan tarikh kelayakan dividen pada 14 Mac 2023.  – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast