Ahmad Sobri Faez menunjukkan bekas kosong yang digunakan untuk menadah air di rumahnya di Taman Univerisiti Jaya 2A, Bedong, Kedah.

MERBOK – “Hanya lima minit paip rumah kami keluar air sehari selebihnya hanya angin”.

Demikian luah penduduk Taman Universiti Jaya 2A, Bedong, di sini, yang mendakwa mengalami situasi gangguan bekalan air sejak dua tahun lalu.

Beberapa penduduk meluahkan rasa kecewa dengan pihak SADA susulan kerap berdepan situasi gangguan air.

Rata-rata penduduk mendakwa keadaan itu meruncing sejak tahun ini apabila mereka berdepan situasi tiada bekalan air hampir dua minggu setiap bulan.

Penduduk, Ahmad Sobri Faez Abdullah, 37, berkata, gangguan bekalan air itu mengganggu rutin 104 keluarga yang mendiami kawasan perumahan terbabit.

Jelas penjawat awam itu, keadaan tersebut menjadi paling kritikal sejak dua minggu lalu hingga memerlukan dia membeli air mineral untuk kegunaan mereka sekeluarga.

Ahmad Sobri Faez.

“Air bukan tak ada tapi sehari dalam lima minit saja. Dalam tempoh itu bukan saja kelam kabut tapi berapa banyak air yang sempat kami tadah?

“Itupun kalau ada di rumah kerana waktu air ada tidak tentu masa, adakalanya pagi ada hari malam.

“Kalau hari biasa kehidupan kami macam ini, bayangkan kurang sebulan lagi nak Ramadan macam mana kami nak harunginya,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Ahmad Sobri Faez, banyak aduan telah dibuat kepada Syarikat Air Darul Aman (SADA) namun sehingga kini masalah tersebut masih belum dapat diselesaikan.

Penduduk berbual dengan pemandu lori jumbo sebaik selesai mengepam air ke dalam tangki berhampiran kawasan rumah mereka.

“Kami juga telah adakan perjumpaan dengan pihak SADA sebelum mereka memberikan kemudahan lori tangki jumbo yang mana air dipam masuk ke tangki kawasan perumahan yang terletak 30 meter dari sini namun keadaan masih tidak berubah.

“Lebih memeritkan tangki yang dibina pemaju untuk kawasan perumahan kami dipercayai turut digunakan untuk salur air ke kawasan perumahan lain yang mungkin menjadi punca kawasan rumah kami tiada air,” dakwanya.

Menurut suri rumah, Noor Amalina Johari, 38, dia berdepan situasi kerosakan harta benda susulan masalah bekalan air yang dihadapi.

Jelasnya, anak-anaknya juga terkena tempias disebabkan isu ini hingga mengakibatkan mereka kerap tidak hadir ke sekolah.

Noor Amalina.

“Semua suri rumah sibuk siapkan masakan, kemas rumah tapi saya ambil masa banyak untuk menunggu air malah mesin basuh hampir terbakar susulan ia beroperasi tanpa air

“Bila ada air kita ingat keadaan sudah pulih, jadi saya gunakan mesin basuh untuk mencuci pakaian tapi siapa sangka ia hanya beberapa minit hingga menyebabkan keadaan mesin panas hampir terbakar.

“Selain itu, kami tujuh sekeluarga termasuk anak yang berusia lima hingga 15 tahun terpaksa catu air untuk mandi serta ke tandas,” katanya dengan nada kecewa.

Bagi jururawat, Intan Shuhaidah Harun, 32, pula, sudah menjadi rutin mandi di hospital sebelum pulang di rumah susulan gangguan bekalan air di kawasan perumahan yang didiami sejak lima tahun lalu.

Intan Shuhaidah.

“Saya tiada pilihan terpaksa mandi di hospital kerana sudah lapan jam menjaga pesakit di wad tambahan pula mempunyai anak kecil di rumah selain seorang daripadanya merupakan penghidap asma.

“Bukan saja itu, adakalanya saya dan suami hanya sempat tadah air satu baldi kecil susulan air ada hanya untuk beberapa minit saja.

“Kami harap keadaan ini diselesaikan segera oleh pihak bertanggungjawab kerana sudah dua tahun kami berdepan situasi begini,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Rizal Mohd Noor, 46, berkata, dia terpaksa berbelanja lebih setiap kali mereka berdepan situasi gangguan bekalan air.

Mohamad Rizal.

“Bukan saja kena catu air untuk anak-anak tapi saya kena beli berkarton-karton air mineral untuk dijadikan air minuman kami lima sekeluarga.

“Baju pula ke hantar ke dobi selain kami terpaksa atau kerap makan di luar disebabkan tiada air,” katanya. – MalaysiaGazette

Video Berkaitan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Memang amat terkesan kalau keadaan sebegitu, kami prihatin kerana dulu kami di Selangor sering juga mengalaminya. Untung orang Kelantan sekurang kurangnya masih ada air teh susu

Comments are closed.