Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Keuntungan bersih Malayan Banking Bhd (Maybank) bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2022 (FY2022) meningkat 1.7 peratus kepada RM8.23 bilion daripada RM8.10 bilion yang dicatatkan setahun lalu.

Kumpulan itu mengaitkan prestasi cemerlang disumbang oleh peningkatan dalam perkhidmatan kewangan komuniti kumpulannya (CFS Kumpulan) dan perbankan korporat kumpulan serta pasaran global.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, institusi kewangan itu berkata, hasilnya meningkat lebih tinggi kepada RM50.91 bilion berbanding RM45.96 bilion sebelumnya.

Bank itu juga menyatakan bahawa peruntukan untuk kerugian rosot nilai ke atas pinjaman, pendahuluan, pembiayaan dan hutang-hutang lain menurun sebanyak RM469.2 juta atau 17.7 peratus kepada RM2.19 bilion berbanding FY2021.

Selain itu, pendapatan faedah bersih dan pendapatan daripada operasi Skim Perbankan Islam meningkat sebanyak RM1.64 bilion atau 8.4 peratus kepada RM21.25 bilion pada FY2022 berbanding tahun kewangan yang sama sebelumnya.

Premium insurans perolehan bersih kumpulan daripada anak syarikat Insurans dan Takaful meningkat sebanyak RM130.8 juta kepada RM8.98 bilion pada FY2022 berbanding FY2021, katanya.

Sementara itu, pendapatan operasinya berjumlah RM4.63 bilion, peningkatan 3.5 peratus pada FY2022 daripada RM4.47 bilion pada tahun kewangan yang sama sebelumnya.

Bagi suku keempat berakhir 31 Dis, 2022 (Q4 FY2022), keuntungan bersih Maybank meningkat 5.4 peratus kepada RM2.17 bilion daripada RM2.06 bilion, manakala hasil lebih tinggi kepada RM14.51 bilion daripada RM11.26 bilion sebelumnya.

Peruntukan kumpulan untuk kerugian rosot nilai ke atas pinjaman, pendahuluan, pembiayaan dan hutang-hutang lain meningkat sebanyak 96.3 peratus kepada RM308.8 juta berbanding tempoh suku yang sama berakhir 31 Dis, 2021.

Mengenai prospek pula, bank itu berkata ia akan terus memberi tumpuan kepada peluang untuk pertumbuhan merentas segmen pengguna dan perniagaan dalam francais ASEAN.

“Kumpulan akan mengekalkan kedudukan mudah tunai yang kukuh untuk menyokong pertumbuhan aset, melalui francais akaun semasa dan simpanan. Pengurusan kualiti aset akan kekal menjadi keutamaan kumpulan pada 2023.

“Sehingga kini, penamatan tempoh program bantuan pembayaran balik tidak membawa sebarang kesan material terhadap kualiti aset kumpulan,” katanya.

Ia menambah, Maybank akan terus memantau portfolio pinjaman dan kekal komited untuk menawarkan sokongan yang disasarkan kepada pelanggan jika diperlukan.

Kumpulan itu juga menyatakan bahawa ia akan secara aktif mengutamakan tumpuan pelanggan melalui peningkatan dalam interaksi pelanggan dari hujung ke hujung dengan menyediakan penyelesaian dan perkhidmatan kewangan merentas pelbagai titik sentuh.

“Jika tiada sebarang keadaan yang di luar jangka, kumpulan menyasarkan untuk mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi pulangan ke atas ekuiti di antara 10.5 peratus dan 11 peratus bagi tahun kewangan 2023 (FY2023),” katanya. – BERNAMA