KUALA LUMPUR – Pelari menara nombor satu negara, Soh Wai Ching meneruskan pencapaian luar biasanya apabila mengungguli perlumbaan menaiki anak tangga bangunan menara Scale the Strat di Las Vegas, Nevada, Amerika Syarikat lewat malam tadi.
Lebih manis, Wai Ching melakukan larian 108 tingkat melibatkan 1,455 anak tangga (ketinggian 260 meter) dalam masa enam minit 46 saat (s) sekali gus menyamai rekod terdahulu yang dicatatkan pelari menara dari Mexico, Alexis Trujillo pada 2020.
Keputusan diraih Wai Ching itu turut mengulangi pencapaian sama dilakukannya pada Februari tahun lepas, namun ketika itu beliau menamatkan perlumbaan dengan catatan 6:57s.
Tempat kedua dan ketiga masing-masing diraih dua atlet tuan rumah, Mark Ewell yang menamatkan larian dengan catatan masa 8:42s serta Mark Henderson dengan catatan 8:54s.
“Saya akan kembali dengan sasaran 6.30s tahun depan!” kata Wai Ching menerusi hantaran di laman rasmi Facebooknya.- BERNAMA