Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berucap pada Forum Antarabangsa Pendekatan MADANI Mendepani Cabaran Islamofobia di Kompleks F, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 27 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menarik diri daripada bertanding untuk jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti kali ini.

Beliau membuat keputusan tersebut setelah mengambil kira tugas rasminya sebagai Menteri Luar yang mana banyak perkara dan urusan hal-hal di luar negara yang perlu diuruskan demi memartabatkan Malaysia di persada antarabangsa.

“Ia juga sekali gus membawa imej UMNO yang saya wakili dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pada masa yang sama, Zambry menambah, sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), beliau mahu memberi keutamaan dalam mengukuhkan hubungan antara parti dalam gabungan tersebut dan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Beliau turut mengumumkan akan mempertahankan jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bagi penggal 2023-2026.

“Saya mengucapkan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada sahabat- sahabat di bahagian-bahagian yang telah menyatakan sokongan kepada saya sebelum ini.

“Semoga anda semua akan terus dapat memberi sokongan kepada saya dan sama-sama kita mengembalikan kegemilangan UMNO untuk agama, bangsa dan tanah air.

“Selamat berjaya kepada sahabat-sahabat yang bertanding pada pemilihan parti kali ini. Mantapkan ukhuwwah dan pelihara kesatuan,” katanya.

Setelah Zambry menarik diri, jawatan Naib Presiden UMNO bakal menyaksikan pertandingan yang melibatkan dua penyandang iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid serta lima lagi pemimpin parti iaitu Datuk Hasni Mohammad, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Semalam, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan tidak mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO yang disandangnya. – MalaysiaGazette