KUALA LUMPUR – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menyambut baik Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri dengan peruntukan sejumlah RM1.585 bilion bagi MITI dan agensinya.

Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, fokus Belanjawan 2023 bertepatan dengan saranan Blueprint Produktiviti Malaysia (MPB) yang berlandaskan peningkatan produktiviti melalui Bakat Masa Hadapan, Penerimaan Teknologi, Peraturan yang Tangkas, Ekosistem yang Teguh dan Minda Produktif.

Bagi pemerkasaan industri yang merangkumi pembangunan tenaga kerja mahir (skilled labour), inisiatif Academy in Factory (AiF) telah dilaksanakan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

AiF bertujuan menangani kekurangan tenaga buruh dan memperkasa pendidikan bukan formal di Malaysia secara tidak langsung mampu menangani masalah kekurangan tenaga buruh dan kebergantungan terhadap pekerja asing.

“Ini bertepatan dengan usaha membangun negara MADANI dalam memastikan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk merancakkan pelaburan sektor berteknologi dan berimpak tinggi, selaras dengan Dasar Pelaburan Negara, Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) akan diperkasa sebagai unit pemudahcara iklim pelaburan dan persekitaran perniagaan.

Untuk perniagaan pulih dengan lancar, peraturan dan undang-undang berkaitan perniagaan yang sedia ada memerlukan semakan dan penambahbaikan untuk mengurangkan beban peraturan yang tidak perlu dan melaksanakan amalan peraturan terbaik.

“MPC memanfaatkan kerjasama dengan PEMUDAH dan Nexus Produktiviti dalam menangani perkara ini. Kerjasama dengan PEMUDAH seterusnya akan diteruskan melalui lebih banyak penubuhan unit MyMudah di peringkat negeri seluruh Malaysia,” katanya.

Selain itu, MPC juga bekerjasama dengan Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara sebagai medium untuk menyalurkan maklumat segera dan pantas berkaitan usaha mereformasi sektor awam.

Saranan kerajaan untuk terus menggalakkan prinsip-prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam perniagaan untuk membantu syarikat PKS menerap amalan rendah karbon adalah satu langkah yang baik.

MPC menyambut baik saranan tersebut melalui program Productivity Step Up menerusi Nexus Produktiviti untuk meningkatkan kecekapan operasi dan produktiviti enterpris dengan menggunakan teknologi dan digital.

MPC terus komited dan memperkukuh kolaborasi melalui kerjasama awam dan swasta bagi melaksanakan inisiatif yang dijalankan oleh Nexus Produktiviti di bawah MPB bagi memastikan Malaysia mencapai purata pertumbuhan produktiviti sebanyak 3.6% pada tahun 2023. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast