KUALA LUMPUR – Harga eksport Malaysia pada Januari 2023, menurun 1.3 peratus daripada 144.5 mata pada bulan sebelumnya kepada 142.7 mata.
Selaras dengan prestasi eksport, indeks nilai seunit import turut mencatatkan kejatuhan 1.1 peratus daripada 129.5 mata kepada 128.0 mata.
Sementara itu, terma perdagangan Malaysia kembali menunjukkan prestasi negatif dengan penurunan 0.1 peratus bulan ke bulan kepada 111.5 mata pada Januari 2023.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks nilai seunit eksport mengalami kejatuhan 1.3 peratus pada Januari 2023 berbanding bulan sebelumnya, disumbangkan oleh penurunan indeks minyak galian (-5.8%), bahan kimia (-0.3%) dan pelbagai barang keluaran kilang (-0.2%).
Di samping itu, indeks volum eksport merosot 13.2 peratus pada bulan yang sama, selaras dengan kejatuhan indeks minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (-40.4%), pelbagai barang keluaran kilang (-21.4%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-13.8%).
Indeks volum eksport pelarasan bermusim menurun 6.9 peratus daripada 161.1 mata kepada 150.1 mata.
Berdasarkan perbandingan tahunan, indeks nilai seunit eksport berkembang 7.6 peratus manakala indeks volum menyusut 5.6 peratus.
Indeks nilai seunit import turut menurun 1.1 peratus pada Januari 2023 berbanding bulan sebelum, disumbangkan oleh kejatuhan indeks minyak galian (-6.8%), bahan kimia (-0.4%) dan pelbagai barang keluaran kilang (-0.3%).
Indeks volum import turut merosot 7.4 peratus pada bulan yang sama berbanding bulan sebelum, disumbangkan oleh penurunan indeks pelbagai barang keluaran kilang (-16.8%), alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-7.5%) dan minyak galian (-6.3%).
Indeks volum import pelarasan bermusim mengalami kemerosotan 5.4 peratus daripada 175.4 mata kepada 165.9 mata. Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan indeks nilai seunit import berkembang 5.3 peratus manakala indeks volum menyusut 2.6 peratus. – MalaysiaGazette