Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan ucapan titah pada Majlis Perasmian Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) Universiti Putra Malaysia (UPM di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Selangor. Foto MUHD NA’IM, 28 FEBRUARI 2023.

SERDANG – Kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu menjalinkan kerjasama erat bagi mencari formula keseimbangan untuk mengurangkan beban rakyat dalam mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj bertitah, baginda percaya penglibatan sektor swasta, badan bukan kerajaan atau individu secara aktif turut membantu memastikan perkhidmatan kesihatan dapat dinikmati oleh semua golongan masyarakat.

Baginda bertitah, kos rawatan kesihatan yang tinggi kini merupakan cabaran utama, yang dihadapi oleh institusi kesihatan termasuk hospital.

“Bagi menyediakan perkhidmatan yang terbaik, cepat dan berkesan, pihak hospital akan menggunakan peralatan perubatan yang canggih dan berteknologi tinggi serta ubatan yang terbaik yang melibatkan kos yang tinggi.

“Ini akan memberi kesan kepada golongan rakyat yang kurang berkemampuan. Beta berharap golongan ini tidak sama sekali dilupakan.

“Titik keseimbangan perlu dibangunkan agar kemajuan pesat bidang perubatan dapat memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, di Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis perasmian itu Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa da Menteri Besar Selangor, DAtuk Seri Amirudin Shari.

Dalam pada itu, baginda percaya pengurusan Hospital Sultan Abdul Aziz Shah akan terus merancang strategi dan mengambil tindakan untuk menjadikannya sebuah hospital yang disegani dan sebaris dengan hospital universiti terbaik dunia.

Titah baginda, kepakaran yang dimiliki akan terus menjadi rujukan kepada pengamal perubatan lain dalam bidang kepakaran masing-masing dari dalam negara mahupun luar negara.

“Beta berasa gembira kerana penubuhan hospital ini meletakkan Universiti Putra Malaysia dalam kedudukan yang lebih signifikan untuk memberikan sumbangan bermakna kepada sektor kesihatan negara terutama dalam kepakaran perubatan yang dimiliki UPM.

“Hospital ini berfungsi sebagai hospital pengajaran kepada Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan yang melibatkan pelajar perubatan dan turut berperanan sebagai pusat latihan kepakaran kepada pegawai perubatan dan sains kesihatan dalam dan luar negara,” titahnya.

Sementara itu, Naib Canselor UPM, Datuk Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman ketika berucap pada majlis tersebut berkata, hospital itu melengkapkan ekosistem pengajian perubatan di UPM untuk melahirkan graduan perubatan yang berkualiti dan berdaya saing.

Katanya, sebagai sebuah universiti penyelidikan yang menawarkan program pengajian dalam bidang perubatan, UPM beriltizam untuk bersama-sama dengan komuniti dalam perkongsian pengetahuan menerusi kepelbagaian perkhidmatan perubatan yang ditawarkan, kemudahan rawatan yang terkini dan infrastruktur berteknologi tinggi.

“Penubuhan Hospital Sultan Abdul Aziz Shah ini merupakan satu pencapaian yang sangat signifikan dalam perkembangan UPM, kerana ia merupakan peluasan kepada fungsi Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan, sekali gus mewujudkan pelbagai peluang berkaitan latihan klinikal untuk pelajar prasiswazah, pascasiswazah dan pembangunan pakar, sub pakar, aktiviti penyelidikan dan juga perkhidmatan klinikal.

“Kewujudan hospital ini juga berupaya meningkatkan keterlihatan dan reputasi UPM terutamanya dalam menyediakan fasiliti penempatan pelajar yang berkualiti tinggi untuk latihan dan perkhidmatan klinikal serta pembangunan penyelidikan serta penemuan baru dalam teknologi perubatan dan penerbitan berimpak tinggi yang diperlukan negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kalau zaman doktor terbaik jadi menteri kesihatan dahulu ambil masa 3 jam untuk jumpa doktor, zaman menteri lulusan oxford macam tu juga. Zaman kerajaan kaya FORMULA ni pun macam tu juga, 3 jam tunggu baru dapat jumpa doktor. Tak berubah2, harap sembang kari je?

Comments are closed.