Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berucap semasa mengadakan lawatan kerja ke Kompleks Industri Makanan Mara (KIMAR). Foto MOHD ADZLAN, 28 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Satu lawatan untuk memperkenalkan calon yang bertanding pada Pemilihan UMNO 2023 akan dilakukan bermula hujung minggu ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, lawatan itu akan melibatkan kesemua calon yang bertanding bagi jawatan peringkat nasional.

“Setakat ini, seramai lapan orang disahkan bertanding bagi jawatan Naib Presiden UMNO.

“Walaupun kita tahu bahawa Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir telah menarik diri. Jadi jumlah yang bertanding tetap lapan orang ya,” katanya pada pemberita.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi membuat gimik perasmian penjenamaan semula KIMAR ketika mengadakan lawatan kerja ke Kompleks Industri Makanan Mara (KIMAR). Foto MOHD ADZLAN, 28 FEBRUARI 2023.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program lawatan kerja Kompleks Industri Makanan Mara (KIMAR), di sini, hari ini.

Tambah Ahmad Zahid, sebanyak 93 permohonan diterima bagi merebut jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

“Dua orang menawarkan diri jawatan Ketua Wanita UMNO, lima orang untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO dan enam orang bagi jawatan Ketua Puteri UMNO.

“Disamping itu, sebanyak 61 permohonan diterima menawarkan diri bertanding bagi jawatan Exco Wanita UMNO, 113 individu bagi jawatan Exco Pemuda dan 42 lagi bertanding Exco Puteri UMNO,” ujarnya.

Mengulas lanjut dakwaan wujudnya kem dalam kalangan calon yang menawarkan diri bagi merebut jawatan Naib Presiden UMNO, Ahmad Zahid berkata bahawa yang wujud hanyalah UMNO Malaysia sahaja.

“Tidak ada sifat apa-apa (niat jahat), memang tidak wujud. Ada kem tapi cuma satu iaitu kem UMNO Malaysia,” jelasnya. – MalaysiaGazette