Keratan MalaysiaGazette semalam berhubung gangguan bekalan air membelenggu penduduk di Taman Universiti Jaya 2A, Bedong, Kedah.

MERBOK – Kerajaan Negeri Kedah khususnya Syarikat Air Darul Aman (SADA) tidak pernah berhenti mencari solusi menyelesaikan masalah gangguan bekalan air di Taman Universiti Jaya 2A, Bedong di sini.

Menurut SADA, Taman Universiti Jaya 2A yang terletak di kawasan Semeling mendapat sumber bekalan air terawat daripada Loji Rawatan Air (LRA) Tupah dan merupakan loji jenis headworks.

LRA Headworks dengan LRA Konvensional adalah sumber air mentahnya diperoleh dari gunung atau bukit manakala LRA Konvensional dari sungai.

Selain itu, LRA Headworks beroperasi secara separa separa rawatan dan bergantung kepada kualiti air mentah semasa dan LRA Tupah merupakan antara salah sebuah daripada empat loji headworks yang berada di Kedah.

Jelasnyaa, terdapat tiga faktor utama LRA Tupah dihenti tugas atau pengurangan operasi di mana sekali gus menyebabkan berlakunya gangguan bekalan air.

“Antaranya faktor cuaca hujan lebat, kemarau dan penyelenggaraan. Hujan lebat yang berterusan di atas Gunung Jerai menyebabkan berlakunya peningkatan kadar kekeruhan air mentah sekali gus mengakibatkan LRA Tupah dihenti tugas kerana tidak mampu memproses air mentah yang mengandungi kadar NTU yang tinggi.

“Fenomena kemarau yang panjang di kawasan Gunung Jerai menyebabkan berlakunya pengurangan sumber air mentah untuk diproses sekali gus mengakibatkan LRA Tupah terpaksa di henti tugas atau beroperasi secara half-load.

Selain itu, sama seperti loji jenis konvensional, LRA Tupah juga perlu melalui proses penyelenggaraan sama ada berjadual mahupun kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan susulan laporan MalaysiaGazette semalam berhubung ratusan isi rumah Taman Universiti Jaya 2A dibelenggui masalah bekalan air sejak dua minggu lalu.

Tambah SADA berkata, adalah menjadi tanggungjawab pihaknya untuk memastikan pengguna mendapat bekalan air yang mencukupi melalui pelbagai usaha yang telah diambil bagi tujuan tersebut.

Katanya, Kerajaan Negeri Kedah dan SADA memahami kesusahan yang ditanggung oleh pengguna yang menghadapi masalah gangguan bekalan air itu.

“Pihak SADA berharap mereka dapat bersabar kerana kami tidak pernah berhenti mencari solusi untuk menyelesaikan masalah tersebut

“Malah, sebagai operator pembekal air terawat negeri Kedah, SADA bertanggungjawab dalam memastikan kelangsungan bekalan air terawat kepada para pengguna termasuk dengan kaedah penghantaran lori tangki. Hal ini selaras dengan kehendak peruntukan undang- undang yang ditetapkan di bawah Seksyen 54(3), Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

“Meskipun bagi penduduk inisiatif ini tidak dapat menyelesaikan masalah secara total, bantuan alternatif melalui lori tangki dan tangki statik tetap digerakkan oleh SADA bagi meminimakan kesan gangguan bekalan air yang dihadapi pengguna yang terjejas,” katanya.

Mengulas lanjut SADA berkata, pihaknya mempunyai tiga pelan jangka masa pendek, sederhana serta panjang bagi menyelesaikan isu bekalan air tersebut.

“Pelan jangka pendek kita adalah menyediakan perkhidmatan penghantaran lori tangki secara berjadual ke kawasan yang terjejas dengan kekerapan dua hari sekali.

“Sistem retikulasi lama dan uzur merupakan antara penyumbang utama kepada masalah ketidakcukupan air di Kedah, jadi pelan jangka masa sederhana, SADA kini giat menjalankan kerja-kerja mengesan kebocoran paip pada sistem agihan secara menyeluruh melalui kaedah Active Leakage Control (ALC) dengan matlamat untuk mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW).

“Bagi pelan jangka masa panjang pula, kerja-kerja menaiktaraf LRA Bukit Selambau kini berada dalam fasa pembinaan.

”Pertambahan kapasiti sebanyak 40 MLD daripada LRA baharu tersebut dijangka akan meningkatkan kapasiti pengeluaran air terawat sekali gus meningkatkan keberkesanan sistem pengagihan air terawat di Daerah Kuala Muda khususnya,” jelas SADA.

ARTIKEL BERKAITAN

Setiap bulan, dua minggu tak ada air hanya keluar angin – Penduduk

MalaysiaGazette semalam melaporkan, lebih 104 keluarga dibelenggu masalah bekalan air di Taman Universiti Jaya 2A di sini, sejak dua minggu lalu.

Keadaan itu membebankan penduduk kerana terpaksa berbelanja lebih untuk membeli air minuman serta mencuci pakaian di dobi susulan bekalan air hanya ada lima minit setiap hari. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Bukan isu tu saja, kat tempat2 tinggi cth Taman Bandar Baru, Seri Bayu 2 dan Merbok, air takda sbb tekanan rendah. Kenapa SADA tak bina tangki air jenis elevated reservoir? Bina la satu feeder tank serta pam dan elevated supply tank kat tempat tempat bermasalah.
    Masalah juga sebab SADA tak maintain pun elevated tank sediada contoh sebiji di Zon Mawar dan sebiji di area Batu 2 Gurun.
    Korang sbnrnya dah selesa dengan kerja korang. Asal dapat gaji pastu tunggu pencen. Bubar saja SADA. Sampaikan Apps korang pun macam hampas, lagi nak settle masalah negeri?

Comments are closed.