TikToker Saifuddin pengundi muda
Khairil Nizam Khirudin

KUALA LUMPUR – Pas kesal dengan kenyataan Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang didakwa menghina pengundi muda yang menyokong Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebagai golongan tidak berpendidikan tinggi.

Ketua Penerangannya, Khairil Nizam Khirudin berkata, penghinaan pemimpin PH terhadap pengundi muda bukan kali pertama berlaku dan ia membuktikan mereka amat terkesan dengan penolakan oleh pengundi muda.

Menurut beliau, kebangkitan anak-anak muda dari semua latar belakang menolak PH dan Barisan Nasional (BN) amat jelas, malah ramai dalam kalangan mereka adalah golongan terpelajar dan berkerjaya.

“Kami dari PN mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua anak muda bandar dan luar bandar serta yang berada di luar negara yang memberikan sokongan kepada PN pada PRU15.

“Kami yakin dengan keangkuhan sikap pemimpin PH ini bakal diterjemah dengan penolakan lebih ramai anak muda pelbagai latar belakang terhadap PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor, Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang nanti,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri dilaporkan berkata demikian ketika berucap dalam Konvensyen PH Kedah 2023 di Sungai Petani, 25 Februari lalu.

Seperti dipetik daripada rakaman video tular dalam media sosial, Saifuddin Nasution berkata, “Mana hat pelajaran tak berapa tinggi, pendapatan tak berapa tetap hat tu, hat naik motor sana sini bagi kat Perikatan.” – MalaysiaGazette