JOHOR BAHRU – Pertandingan merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian di negeri ini dijangka sengit dengan tumpuan pastinya di “kerusi panas” Pontian yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Hasni, yang juga bekas Menteri Besar, menyandang jawatan Ketua Bahagian Pontian sejak 2001, manakala Ahmad adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian mulai 2008.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Samsol Bari Jamali, berkata selain itu, sebanyak 19 UMNO Bahagian di negeri itu akan menyaksikan saingan merebut jawatan Ketua Bahagian dengan 15 daripadanya adalah pertandingan satu lawan satu dan lima lagi menyaksikan pertandingan tiga penjuru.
“Seramai 401 pencalonan diterima dengan 51 calon menawarkan diri untuk jawatan Ketua Bahagian dan 47 calon menawarkan diri untuk jawatan Timbalan Ketua Bahagian, manakala selebihnya untuk jawatan lain-lain yang dipertandingkan.
“Ini adalah gambaran bahawa UMNO masih ada pendukung kerana masih ramai yang menawarkan diri untuk berkhidmat dan pada masa yang sama mengguna pakai konsep demokrasi yang diamalkan,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Samsolbari sendiri berdepan pertandingan satu lawan satu dengan Joni Muhamat Yahya untuk jawatan Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam.
Beliau berkata hak bakal pemimpin adalah menawarkan diri manakala hak ahli adalah mengundi dan memilih dengan adil untuk masa depan UMNO berdasarkan prestasi dan sumbangan pemimpin UMNO masakini dan sebelumnya mengikut peringkat yang berkenaan.
Turut berdepan pertandingan ialah bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba, iaitu Ketua UMNO Bahagian Tenggara yang akan menentang timbalannya, Datuk Suhaimi Khalid.
Selain itu, jawatan Ketua UMNO Bahagian Pengerang akan menyaksikan pertandingan antara penyandangnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dan Datuk Mhd Tahir Mohd Noah, ahli perniagaan dan ahli biasa UMNO Pengerang.
Sementara itu, seperti yang dijangka, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (UMNO Pasir Gudang) dan Datuk Nur Jazlan Mohamed (Pulai), merupakan antara enam Ketua UMNO Bahagian yang disahkan menang tanpa bertanding selepas pencalonan ditutup kelmarin.
Turut mempertahankan jawatan ialah Datuk Zulkurnain Kamisan iaitu Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong, yang memegang jawatan itu sejak 2013 dan Ketua Bahagian Kota Tinggi Muszaide Makmor, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sedili.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang bertanding Ketua Bahagian Simpang Renggam dan Datuk Abdul Ghani Abdul Rashid, yang bertanding Ketua Bahagian Sembrong, untuk pertama kali juga menang tanpa bertanding. – BERNAMA