Ismail Sabri Yaakob

BERA – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan desas-desus yang mendakwa beliau akan bersara daripada dunia politik.

“Saya tak pernah kata saya nak bersara. Cuma saya tak bertanding jawatan Naib Presiden,” ujarnya.

Menurut Ahli Parlimen Bera itu, meski tidak mempertahankan jawatan Majlis Kerja Tertinggi parti, beliau masih menghantar borang untuk mempertahan jawatan Ketua UMNO Bahagian Bera.

“Saya Ahli Parlimen Bera pastinya saya masih aktif dalam politik. Tapi di Bera,” kata bekas Perdana Menteri itu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Latihan Amal Bera Inter-Agensi dan Komuniti 2023 yang diadakan di Bera Waterfront, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau diberitahu, UMNO Bahagian Bera tidak menerima mana-mana borang pencalonan mencabar jawatan bagi Ketua Bahagian yang disandangnya sebelum ini.

“Sewaktu tarikh tutup pencalonan, saya difahamkan oleh Setiausaha UMNO Bahagian Bera, hanya satu pencalonan sahaja yang dihantar melalui Bahagian Bera iaitu saya.

“Jadi kalau tidak ada orang lain yang hantar melalui tempat-tempat lain, jadi saya menang tanpa bertanding lah sebagai Ketua UMNO Bahagian Bera,” tambahnya.

Bagaimanapun, Ismail Sabri memberitahu, beliau sedang menunggu keputusan muktamad daripada Ibu Pejabat UMNO Malaysia mengenai pencalonan jawatan Ketua UMNO Bahagian Bera.

Justeru, katanya, tiada sebab untuk beliau bersara daripada politik dan berita berkenaan adalah spekulasi ‘nakal’ yang diterbitkan sebuah akhbar media arus perdana kerana ia tidak benar sama sekali. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.