menghendap banduan hukuman mati bunuh diri Azalina jawatan
Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Kumpulan yang mendakwa waris Kesultanan Sulu akan menggunakan pelbagai cara demi menuntut aset negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ia menyebabkan kumpulan berkenaan dilihat cuba menggunakan platform timbang tara komersial antarabangsa (forum shopping) dengan mensasarkan aset nasional yang terdedah.

“Mereka ini guna forum shopping sebab mereka rasa aset Malaysia mereka boleh kacau. Saya bagi contoh sahaja bukan ada kes, macam-macam (aset) boleh jadi sasaran,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas sesi taklimat khas mengenai isu tuntutan kumpulan Sulu kepada semua Ahli Parlimen, hari ini.

Bagaimanapun Azalina memberitahu, tuntutan yang dibuat oleh kumpulan tersebut terhadap aset-aset Malaysia tidak mempunyai asas perundangan yang kukuh.

Jelas beliau, ini menyebabkan pada 2021, Mahkamah Madrid membatalkan pelantikan penimbang tara dan tindakan yang telah diambil sebelum ini.

Katanya, kes ini merupakan kes luar biasa kerana melibatkan aspek kedaulatan negara dan prosiding timbang tara yang sepatutnya tidak berbangkit (non arbitrable).

“Ketiga, award yang dikeluarkan telah melanggar prinsip polisi awam antarabangsa (international public policy) khususnya melibatkan Malaysia’s diplomatic immunity and jurisdictional immunity (partial award) and sovereignty (purported final award),” ujarnya.

Sehubungan itu kata Azalina, kerajaan tidak akan berkompromi dengan isu ini dan akan berusaha menghentikan tuntutan Sultan Sulu melalui pelbagai cara dan kuasa.

“Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap aspek kedaulatan dan keselamatan serta tidak akan berhenti berusaha untuk melindungi dan memelihara kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia pada setiap masa dan akan terus mengambil segala tindakan yang perlu bagi menghentikan tuntutan Sultan Sulu dengan menggunakan segala kuasa, hak dan sumber yang ada,” tambah beliau.

Beliau berharap agar semua Ahli Parlimen tidak mengira pegangan politik akan bekerjasama dengan kerajaan dalam mempertahankan kedaulatan negara daripada apa juga tuntutan daripada waris Sulu. – MalaysiaGazette