Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melihat proses melawat kilang memproses makanan ketika hadir ke Kompleks Industri Makanan Mara (KIMAR). Foto MOHD ADZLAN, 28 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menyelaras tempoh proses pendaftaran sijil halal bagi memudahkan usahawan memasarkan produk mereka.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkaitan tindakan kerajaan berhubung perkara itu.

“Saya telah mengadakan perbincangan dengan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dan juga Datuk Hakimah Mohd Yusoff (Ketua Pengarah Jakim).

“Kita akan selaraskan mengikut penanda aras yang telah ditentukan dan kita lihat semua syarat-syarat yang telah dikeluarkan.

“Maka di dalam mesyuarat Majlis Halal yang akan datang, saya akan meminta tempoh tertentu supaya diberikan satu penanda aras bahawa lulus, tidak lulus atau perlu pembaikkan dan sebagainya.

“Mesti ada tempoh dan bukan tempoh yang terlalu lama. Ianya perlu difahami pihak Jakim dan juga MITI,” katanya pada pemberita.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi membuat gimik perasmian penjenamaan semula KIMAR ketika mengadakan lawatan kerja ke Kompleks Industri Makanan Mara (KIMAR). Foto MOHD ADZLAN, 28 FEBRUARI 2023.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat Kompleks Industri Makanan Mara (KIMAR), di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah melancarkan penjenamaan semula Kompleks Industri Makanan Halal MARA (KIMAR) kepada MARA Halal Industrial Park (MHI Park).

SEbelum ini, beliau berkata, sebanyak 479 permohonan syarikat dan usahawan untuk mendapatkan pensijilan halal yang diluluskan di bawah Program Pensijilan Usahawan MARA.

Ia membabitkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM4.6 juta dan pensijilan itu adalah bagi melengkapkan usahawan untuk bersedia menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa. – MalaysiaGazette