Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dinasihatkan agar mendoakan yang baik-baik sahaja kepada Kerajaan Perpaduan.

Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebagai tokoh agama, Abdul Hadi seharusnya mempamerkan imej Islam yang sebenar dengan tidak membuat kenyataan yang tidak selaras dengan landasan agama.

“Doa ini biasanya yang baik-baik sahaja, kalau kita doa buruk-buruk tak kena dengan kaedah dan juga cara Islam,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Parlimen Gombak itu diminta mengulas mengenai kenyataan Abdul Hadi yang menjangkakan bahawa kerajaan hari ini yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan tumbang tidak lama lagi.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikan ketika berucap pada sesi Dialog Ulama Negarawan: Mendepani Cabaran Globalisasi Media Masa Kini anjuran Yayasan Permata Ummah di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut berdasarkan apa jangkaannya itu dibuat .

“Orang tanya bila berlaku ini. Ini ramalan.

“Insya-Allah, (akan berlaku) dalam masa terdekat,” katanya.

Malah pada sesi perbahasan sempena Bajet 2023 semalam, Abdul Hadi turut berkata, pembangkang tidak boleh dipersalahkan sekiranya pentadbiran PH runtuh sekali lagi.

Abdul hadi berkata, Perikatan Nasional (PN) yang kini merupakan pembangkang tidak perlu dipersalahkan sekiranya ada aktiviti selepas Langkah Sheraton yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan tumpang pada 2020.

“Kalau jatuh lagi, jangan salahkan kami. Bukan tebuk atap, tetapi atapnya bocor, pintunya terbuka dan dindingnya pecah,” katanya. – MalaysiaGazette