Najwan
Najwan Halimi

KUALA LUMPUR – Kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang kononnya Kerajaan Perpaduan akan tumbang dalam masa terdekat seolah-olah menunjukkan beliau masih belum pulih daripada penyakit kemurungan politik.

Timbalan Ketua PKR Cabang Shah Alam, Najwan Halimi berkata, Abdul Hadi juga seperti masih tidak dapat menerima realiti bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya membentuk kerajaan.

Menurut beliau, kenyataan Ahli Parlimen Marang itu hanyalah satu bentuk perang saraf untuk menggambarkan seolah-olah wujud ketidakstabilan politik.

“Apa yang nyata, pandangan beliau tiada asas. Realitinya, kerajaan amat kukuh dengan sokongan majoriti dua pertiga.

“Lebih 100 hari sejak Anwar menerajui pentadbiran negara, beliau telah berjaya mewujudkan kesepakatan dan keyakinan dalam kalangan parti-parti yang bergabung membentuk kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ketika membahaskan Belanjawan 2023 dalam sidang Dewan Rakyat semalam, Abdul Hadi mengingatkan pemimpin kerajaan sedia ada agar tidak menyalahkan pembangkang sekirannya pentadbiran hari ini jatuh sekali lagi.

Katanya, jika kerajaan sedia ada runtuh sekali lagi pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan (PH) tidak boleh mengatakan ia ‘tebuk atap’ sebaliknya ia berlaku akibat ‘atap bocor.

Najwan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik berkata, pelbagai ikhtiar telah dilaksanakan oleh Anwar untuk menetapkan semula hala tuju dan keutamaan kerajaan.

Beliau memberitahu, Belanjawan 2023 yang dibentangkan Anwar selaku Menteri Kewangan turut membuktikan komitmen kerajaan untuk menangani masalah rakyat terkait kos sara hidup serta membasmi kemiskinan.

“Dasar luar negeri serta penghormatan yang dizahirkan oleh negara-negara lain juga semakin baik sejak Anwar menerajui kerajaan,” jelasnya. – MalaysiaGazette