Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek hadir ke persidangan Dewan Rakyat pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 14 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan mengiktiraf Unified Examination Certificate (UEC)yaang dilaksanakan di sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) buat masa ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam jawapaan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat berkata, perkara itu tiada dalam perancangan Kerajaan Perpaduan, pendirian itu berlandaskan kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan dan peruntukan Akta Pendidikan 1996 [Akta 550]

Fadlina menjawab pertanyaan Sabri Azit (PN-Jerai) yang ingin tahu pendirian kerajaan berhubung pengiktirafan sijil Unified Examination Certificate (UEC).

Tahun lalu, Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) sekali lagi membangkitkan gesaan yang pernah dibuat ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), dua tahun lalu supaya UEC diiktiraf.

Tindakan itu bagaimanapun mencetuskan kemarahan apabila beberapa pihak dilaporkan melalui portal berita meminta supaya Dong Zong tidak rakus dalam membuat tuntutan tersebut. – MalaysiaGazette