Anthony Loke (kanan) bersama Chow Kon Yeow pada sidang media di Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Kerja pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas, di sini, akan dimulakan selewat-lewatnya sebelum hujung tahun ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, panggilan tender terbuka untuk projek berkenaan dijangka dilakukan dalam tempoh dua bulan akan datang.

Jelas beliau, kerajaan merasakan perlu melaksanakan pembesaran LTAPP pada kadar segera bagi menangani masalah peningkatan jumlah penumpang di lapangan terbang tersebut.

“Selain itu, projek ini dibiayai Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) tanpa memerlukan peruntukan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan.

“Kita jangka pembesaran ini siap dalam tempoh tiga hingga empat tahun sekali gus meningkatkan kapasiti LTAPP sebanyak sekali ganda iaitu daripada 6.5 juta penumpang setahun kepada 12 juta,” katanya pada sidang media di Pejabat Ketua Menteri di Kompleks Tun Abdul Razak, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Anthony Loke meninjau LTAPP hari ini.

Terdahulu, Anthony mengadakan lawatan kerja ke negeri ini dengan meninjau LTAPP selain meluangkan masa menaiki feri sebelum pulang ke Kuala Lumpur menggunakan perkhidmatan tren elektrik (ETS). 

Anthony enggan mengulas mengenai kos pembesaran LTAPP susulan bimbang mengganggu proses tender terbuka yang bakal dilakukan nanti. – MalaysiaGazette