A. Anbalagan

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan pembabitan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dengan sebuah syarikat yang didakwa menerima projek bernilai RM700 juta secara rundingan terus daripada kerajaan negeri.

Ketua Polis Daerah Serdang, ACP A. A Anbalagan berkata, laporan polis itu dibuat di Balai Polis Kinrara pada 2 petang tadi.

“Ya saya sahkan kita ada menerima laporan polis berkaitan perkara berkenaan sebentar tadi,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Laporan polis itu dibuat oleh Ketua Penerangan Perikatan Nasional Selangor, Mohd Shukor Mustaffa, katanya.

Semalam sebuah portal berita melaporkan Amirudin dan Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim didakwa mempunyai kepentingan dalam syarikat Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd (LLSB) yang dianugerahkan projek pembersihan sungai dan pembangunan Sungai Klang sepanjang 56 kilometer, dari Mid Valley City di Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang, yang dikatakan menelan belanja RM700 juta.

Sementara itu, Pengarah Urusan LLSB, Syaiful Azmen Nordin dalam kenyataan berkata, syarikat itu merupakan sebuah anak syarikat milikan penuh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) dan telah dilantik oleh kerajaan negeri bagi merancang dan mengurus pelaksanaan projek berkenaan.

“Kedudukan Amirudin dan Izham adalah mewakili kepentingan kerajaan negeri agar projek ini dapat dilaksanakan secara telus, teratur dan menepati matlamat kerajaan negeri,” katanya. – Bernama