Datuk Seri Najib Tun Razak. Foto HAZROL ZAINAL, 08 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Perkhidmatan Pengurusan Dana BSI Bank Singapore, Kevin Michael Swampillai menggambarkan Datuk Seri Najib Razak mengetahui tentang transaksi dan pindahan wang dalam jumlah besar pada urus niaga dana fidusiari 1Malaysian Development Berhad (1MDB) dan tiga syarikat lain.

Kevin berkata, pelanggan bank seperti 1MDB dan anak syarikatnya, SRC International Sdn. Bhd. mahu menggunakan perkhidmatan dana fidusiari yang ditawarkan banknya.

Beliau mendakwa, sejumlah besar wang yang dipindahkan daripada urus niaga dana fidusiari itu tidak diletakkan dalam deposit, sebaliknya wang tersebut disalurkan kepada pelbagai penerima yang tidak diketahui identitinya.

“Pelanggan mengawal masa dan jumlah disalurkan menerusi struktur fidusiari. Urus niaga itu dipilih bertujuan mengaburi niat sebenar syarikat berkenaan daripada diteliti oleh pihak berkepentingan di Malaysia,” kata.

Beliau yang merupakan saksi pendakwaan ke-44 prosiding penyelewengan dana bernilai RM2.3 bilion milik 1MDB di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah, di sini, hari ini.

BSI Bank Singapore ialah anak syarikat milik penuh BSI Bank SA yang beribu pejabat di Switzerland itu menyediakan sokongan pelaburan kepada perbankan swasta dan pengurus perhubungan.

Selain itu bank tersebut juga mengurus keperluan pelanggan melalui nasihat dan penyelidikan pelaburan serta penyelesaian lain seperti struktur amanah dan penyelesaian fidusiari (dana fidusiari).

Najib berhadapani 25 pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah dan terlibat dalam pengubahan wang haram membabitkan dana syarikat 1MDB berjumlah RM2.3 bilion.

Dalam pada itu menurut Kevin ketika membacakan pernyataan saksinya, beliau membuat tanggapan bahawa urus niaga berkenaan diketahui bekas Perdana Menteri itu kerana SRC International adalah syarikat yang dimiliki Kementerian Kewangan (MOF) ketika Najib menjawat jawatan Menteri Kewangan.

Kata Kevin yang  berkhidmat dengan BSI Bank Singapore dari 2010 hingga 2016, beliau pernah bertemu Low Taek Jho atau Jho Low pada 2011 dan lelaki dalam buruan itu pernah bertanyakan tentang dana fidusiari yaaang ditawarkan banknya.

“Jho Low juga memberi gambaran kepada kami bahawa dia adalah penasihat kepada Najib,” ujarnya sambil menambah SRC International, 1MDB, dan 1MDB Global Investment Limited pernah menggunakan perkhidmatan dana fidusiari BSI.

Prosiding bersambung esok. – MalaysiaGazette