Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bercakap kepada media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman antara Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) dengan IFP Energies Nouvelles (IFPEN) of France di Hotel Hilton, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 01 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan melaksanakan subsidi bersasar secara tergesa-gesa sebaliknya, berperingkat selepas infrastruktur mekanisme menyeluruh dimuktamadkan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata, langkah itu memerlukan mekanisme menyeluruh supaya ia dapat dikekalkan walaupun pentadbiran negara berubah pada masa hadapan.

Katanya, ia juga bagi memastikan subsidi bersasar yang dilaksanakan lebih inklusif dan kurang mendatangkan risiko kekeliruan.

“Langkah kerajaan untuk melaksanakan subsidi bersasar, terutamanya membabitkan bahan api perlukan infrastruktur yang menyeluruh supaya semua dapat menerimanya.

“Kerajaan perlu mengimbangi antara beberapa kebimbangan yang mungkin mencetuskan konflik apabila ia dilaksanakan kelak. Ia perlu disusun dengan teratur.

“Pentadbiran hari ini akan melaksanakan subsidi bersasar secara berperingkat dan ia tidak tergesa-gesa supaya apabila dilaksanakan, ia akan bertahan dalam kerajaan yang berbeza,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis pemeteraian Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) dan IFP Energies Nouvelles (IFPEN) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, kebimbangan pertama yang perlu dilihat kerajaan menerusi pelaksanaan subsidi bersasar adalah memastikan ia inklusif bagi memastikan hanya golongan yang benar-benar memerlukan dapat memanfaatkan subsidi berkenaan.

“Kedua, kerajaan perlu memastikan bahawa bahawa kadar inflasi tidak melonjak ketara kerana apabila melaksanakan rasionalisasi subsidi, jelas sekali peruncit dan perniagaan perlu mengambil kira kos bahan api yang lebih tinggi ke dalam harga mereka.

“Jika kerajaan tidak mengimbanginya, berkemungkinan timbul masalah lain. Justeru, kerajaan memerlukan infrastruktur yang baik,” ujarnya.

Sementara itu, Rafizi berkata, kriteria yang akan mengukur mekanisme Cukai Barangan Mewah akan ditentukan oleh Kementerian Kewangan (MOF).

“Jelas sekali apabila MOF meneliti perkara ini secara terperinci, kami akan membuat keseimbangan dan selebihnya akan diambil kira sebelum keputusan mengenai cukai ini dilaksanakan.

“Kita akan mengambil kira secara menyeluruh sama ada item yang bagaimana akan dikenakan cukai ini atau dari segi nilai serta kuantiti sebelum pelaksanaan dimuktamadkan,” jelasnya. – MalaysiaGazette