Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meninjau lokasi jalan runtuh di Selancar, Rompin petang tadi.

KUANTAN – Pembinaan jambatan ‘Bailey’ di Selancar, Rompin sedang dilakukan selepas jalan utama ke Segamat, Johor itu dilaporkan terputus hubungan hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, agensi yang berkaitan telah dimaklumkan untuk menggerakkan kerja-kerja pembinaan jambatan sementara itu dengan segera.

“Saya berada di Felda Selancar 1, 2, 3, 4 dan 5. Di sini berlaku hakisan yang sangat berat di mana jalan utama ke Segamat telah terputus sepenuhnya.

“Apa yang kami akan lakukan ialah pembinaan jambatan ‘Bailey’ yang akan dibekalkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Koordinasi telah dilakukan dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri dan pemasangannya akan dilakukan oleh Kor Jurutera Diraja Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya selepas meninjau lokasi jalan terputus itu, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (kiri) meninjau lokasi jlaan runtuh di Selancar, Rompin petang tadi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat tiba di Selancar, Rompin bersama Ketua Pengarah NADMA, Datuk Khairul Shahril Idrus dan Ketua Pesuruhjaya Jabatan Pertahanan Awam (APM),Aminurrahim Mohamed petang tadi.

Menurut Ahmad Zahid, Panglima Tentera Darat juga telah dimaklumkan untuk menggerakkan Kor Jurutera dan jambatan itu akan dipasang sebaik sahaja kor tersebut tiba di lokasi.

Beliau berkata, pemasangan struktur sementara tersebut akan mengambil masa antara 44 jam sehingga 72 jam.

“Ini adalah langkah sementara bagi memastikan laluan ini dapat digunakan semula sebelum jalan baharu dibina oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid memaklumkan terdapat kira-kira 110 pelajar yang sedang mengambilpPeperiksaan Sijil Perlajaran Malaysia (SPM) di kawasan Rompin tidak dapat menduduki peperiksaan itu pada hari ini ekoran kertas peperiksaan tidak dapat dihantar ke tempat peperiksaan.

“Oleh kerana hujan berterusan selama beberapa hari, saya berharap kawasan-kawasan yang terdedah banjir untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi arahan daripada pihak berkuasa,” tambahnya. – MalaysiaGazette