Prof Datuk Ts. Dr Yuserrie Zainuddin

PEKAN – Universiti Malaysia Pahang (UMP) mencatatkan 98.67 peratus kebolehpasaran graduan pada tahun 2022, rekod tertinggi setakat ini.

Naib Canselornya, Prof Datuk Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, ia merupakan peningkatan lebih dua peratis berbanding tahun sebelumnya.

Jelasnya, universiti tersebut telah melahirkan seramai 38,462 alumni yang telah menyumbang semula tenaga dan kepakaran mereka kepada masyarakat serta pembangunan negara.

“UMP perlu memainkan peranan yang lebih efektif dalam membantu meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat seiring dengan tema ‘Teknologi Untuk Masyarakat’.

“Justeru, penyelidikan di UMP mestilah berasaskan kepada potensi penawaran penyelesaian masalah yang berasaskan teknologi kepada masyarakat,” katanya.

Tambah Dr. Yuserrie, universiti tersebut telah merancang beberapa inisiatif baharu bagi memastikan peratusan kebolehpasaran graduan prasiswazah kekal melebihi sasaran 90 peratus setiap tahun.

Katanya, pencapaian itu amat membanggakan kerana ia menggambarkan graduan lepasan UMP mendapat permintaan tinggi di pasaran kerja serta setara dengan graduan lepasan institusi lain terutama yang berasaskan Sains dan Teknologi.

“Peratusan  kebolehpasaran  graduan ini penting untuk menarik minat bakal pelajar yang berkualiti untuk terus menjadikan UMP sebagai pilihan utama mereka dalam menentukan hala tuju kerjaya selepas tamat belajar kelak.

“Selain itu, peratusan ini juga penting untuk menjadikan universiti ini lebih kompetitif bukan hanya di peringkat tempatan malahan di peringkat global.” ujarnya.

Dr. Yuserrie berkata, bagi meneruskan kelestarian kecemerlangan bagi memacu Pendidikan TVET, UMP sebagai universiti dalam rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) akan melaksanakan 60 peratus program berasaskan TVET, dan 40 peratus berasaskan Kejuruteraan menjelang tahun 2025 melalui tiga inisiatif.

SEmentara itu, beliau mengumumkan lapan iltizam dan azam bagi melestari kecemerlangan dalam kualiti akademik, pembangunan penyelidikan dan perkhidmatan agar UMP terus diiktiraf di persada dunia.

“Iltizam pertama adalah Memacu Pendidikan TVET, kedua Pemerkasaan Mahasiswa, Ketiga, Melonjak Kebitaraan Akademia dan keempat Penyelidikan Berimpak, Menyejahterakan Komuniti.

“Kelima adalah Agenda Pembangunan Bakat, Keenam Kemampanan Kewangan dan ketujuh Kelestarian Ekosistem dan terakhir adalah Membangunkan Ekosistem Inklusif,” katanya. – MalaysiaGazette