KUALA LUMPUR – Amalan sedia ada lantikan naib canselor (NC) di universiti awam (UA) akan diteruskan memandangkan kerajaan tiada cadangan memansuhkan AUKU 1971 (Pindaan 2019).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini bermakna pelantikan NC sesebuah universiti awam dilakukan oleh menteri.
“Namun ia perlu mengikut prosedur dan ketetapan akta yang diluluskan oleh Parlimen dan aktanya ialah Akta AUKU 1971,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Menjawab soalan tambahan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) sama ada Kementerian Pendidikan Tinggi akan memberi kelonggaran untuk parti politik menubuhkan cawangan mereka di kampus universiti, Khaled tidak menolak kemungkinan itu untuk parti politik menubuhkan cawangan mereka di kampus universiti.
Ini kerana pelbagai pindaan telah dilakukan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 meliputi aspek kegiatan pelajar, urus tadbir universiti dan sebagainya.
“Memang kita memberi kebebasan kepada pelajar untuk menyertai mana-mana parti politik di dalam atau luar kampus termasuk mereka boleh menawarkan diri bertanding dalam pilihan raya.
“Jadi, semua itu sudah dilonggarkan dan kemungkinannya termasuk perkara seperti dicadangkan Yang Berhormat,” katanya. – MalaysiaGazette