Tertuduh (berbaju hitam) keluar dari kamar mahkamah selepas dijatuhi hukuman di Mahkamah Shah Alam hari ini.

PETALING JAYA – Bekas pegawai tentera mengaku bersalah atas tuduhan memikat isteri orang pada tujuh tahun yang lalu

Azmi Ali, 48, membuat pengakuan berkenaan di Mahkamah Majistret hari ini.

Berdasarkan pertuduhan, Azmi dengan niat jenayah memikat seorang wanita telah bersuami berusia 44 tahun sehingga wanita itu melakukan persetubuhan dengannya pada tahun 2016.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Majistret, Zhafran Rahim Hamzah kemudian menetapkan hukuman denda sebanyak RM6,000.

Sekiranya gagal membayar denda, Azmi berhadapan dengan hukuman penjara selama lima bulan.

Terdahulu, peguam belanya memohon supaya mahkamah meringankan hukuman terhadap Azmi selepas pengakuan berkenaan.

Menurut Azman Zakaria, anak guamnya telah dinasihatkan untuk berhenti daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak prosiding bermula dan hanya mendapat pekerjaan baharu pada awal tahun ini.

“Dia sebelum ini  berkhidmat selama 28 tahun dengan ATM dan sejak kes itu, beliau tidak bekerja sehingga Januari tahun ini.

“Dia kini bekerja sebagai pegawai keselamatan dengan gaji lebih RM4,000 dan menjaga bapanya berumur 77 tahun yang menghadapi penyakit dimensia dan ibunya berusia 60-an,” katanya.

Walaubagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Siti Zubaidah Mahat berkata, hukuman setimpal perlu diberikan  mengambil kira impak yang dihadapi oleh pengadu iaitu bekas suami kepada wanita yang dikaitkan dengan Azmi.

“Kes ini bukan sahaja menjejaskan perkahwinan pengadu tetapi juga menjejaskan keluarganya, perniagaannya sebelum ini gulung tikar, beliau juga menghadapi kemurungan yang sedang mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Chukai Terengganu,” jelas beliau.

Azmi mengaku bersalah pada 20 September 2020 atas tuduhan berkenaan kemudian kemudian menukar pengakuannya pada 29 September 2020.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast