KUALA LUMPUR – Cadangan menaikkan harga lantai getah sekerap kepada RM3 sekilogram akan diperhalusi oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) adalah pengumuman yang sangat baik.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, langkah itu berketepatan dengan konsep Malaysia Madani yang meliputi semua masyarakat di negara ini
“Jika harga itu akan dinaikan, kami amat bersukacita.
“Kalau pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri selaku menteri kewangan, kami yakin itu lebih baik untuk pekebun-pekebun kecil getah keseluruhannya,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di RISDA, hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang dan Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Seri Ramlan Harun.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching berkata, cadangan itu akan dikemukakan kepada kerajaan untuk pertimbangan dengan mengambil kira kemampuan kewangan semasa negara.
Beliau berkata, kerajaan ketika ini sedang berusaha melaksanakan paras Harga Pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram dengan peruntukan RM350 juta seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2023.
Kenaikan paras Harga Pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah 20 sen iaitu 8 peratus daripada RM2.50 kepada RM2.70 bertujuan memberi bantuan serta-merta kepada pekebun kecil. – MalaysiaGazette