KUALA LUMPUR – Seramai 14 bakal jemaah dari Johor Bahru amat kecewa dengan cara pengendalian sebuah agensi pengendali umrah yang didakwa seolah-olah ‘menganiaya’ mereka setelah menangguhkan penerbangan sebanyak lima kali pada saat-saat akhir sejak Disember tahun lalu.
Jurucakap jemaah yang terbabit, Kamsani Amat Sehab berkata, lebih dikesalkan apabila syarikat berkenaan melepaskan tangan berkaitan pemakluman penjadulan tiket penerbangan ke tanah suci.
Beliau mendakwa, kumpulannya itu dijanjikan penerbangan ke tanah suci pada 11 Disember tahun lalu namun ditangguhkan atas alasan tiada tiket penerbangan kerana ketika itu penganjuran Piala Dunia FIFA 2022.
“Sepatutnya penerbangan kami pada 11 Disember tapi masa itu ditunda, itu pun tunda masa pada saat-saat akhir. Jadi kita terima alasan tersebut dan ditunda pada 14 Disember, kemudian tunda lagi pada 19 Disember… okaylah.
“Kami terima alasan itu kerana mungkin tiket susah nak dapat dengan keadaan di tanah arab mungkin sesak. Saya terima (alasan) sebab ada dalam kumpulan jemaah ini berusia emas. Kemudian ditunda lagi pada 22 Februari, iaitu musim sekolah sebab jemaaah kami ini ada yang bekerja sebagai guru.
“Jadi saya sudah tunggu sehingga tarikh itu, tiada apa-apa maklum berita. Bila dah dekat (28 Februari) barulah dikeluarkan memo akan ditunda lagi pada 2 Mac dan 6 Mac untuk penerbangan. Saya cakap bila penjadualan semula, keluarkanlah senarai lebih awal tapi tiada update (perkembangan terkini) daripada pihak syarikat,” luahnya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di syarikat pengendali umrah itu pagi semalam.
Kamsani berkata, sejak tiga minggu lalu dia sudah banyak kali menghubungi pengurusan syarikat itu namun tiada maklum balas menyebabkan dia terpaksa datang dari Johor Bahru untuk menyelesaikan isu tarikh penerbangan ini.
Kamsani menegaskan, sekiranya masih tiada tiket penerbangan untuk menunaikan umrah pada 2 Mac, beliau mahu syarikat berkenaan membuat bayaran balik sebanyak RM97,860.00 yang sudah dilunaskan.
“Hari ini saya datang ke sini sebab nak buat rundingan, kalau mereka boleh terbangkan kami esok atau lusa, saya setuju sebab dibuat pada musim cuti sekolah. Mereka kata akan cuba selesaikan hal ini dalam masa masa terdekat untuk dapatkan tiket penerbangan selewat-lewatnya jam tiga petang.
“Sebenarnya kalau mereka bagi tahu penjadualan semula awal, kita boleh rancang dan tidak akan marah dan boleh lanjutkan pada hujung tahun tapi kalau berbalik pada soalan tadi, dia kena buat semula pengurusan, agak masalah sedikit, memang gagal.
“Tapi dalam hal ini takkanlah mereka hanya nak selesaikan kes saya sahaja, ramai lagi jemaah lain yang alami masalah sama. Pada saya tidak adil macam ini. Sepatutnya boleh selesai secara atas talian, tidak perlu kami hadir di sini sampai mengamuk macam ini,” jelasnya.
Tambah Kamsani lagi, dia berharap pihak agensi pengendali umrah itu dapat memperbaiki mutu perkhidmatan pengurusan mereka.
Sehingga malam tadi, Kamsani berkata, syarikat pengendali umrah itu masih tidak memperoleh tiket penerbangan pada tarikh dijanjikan, lantas mahu duit kos umrah itu dipulangkan disegera.
MalaysiaGazette difahamkan, syarikat berkenaan perlu memulangkan semula wang berkenaan dalam tempoh 14 hari berdasarkan prosedur operasi standard syarikat berdasarkan terma perjanjian.
Wartawan MalaysiaGazette akan menghubungi pihak agensi terbabit untuk mendapatkan penjelasan dan penyelesaian berhubung isu yang membelengu masalah bakal jemaah umrah di bawah kendalian mereka. – MalaysiaGazette