KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meneliti cadangan untuk meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah bidang kuasa Parlimen.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan sentiasa terbuka dengan cadangan mengenai perkara itu bagi tindakan sewajarnya.
“Kerajaan amat terbuka akan pandangan dan saranan yang disuarakan daripada pelbagai pihak termasuk Ahli Yang Berhormat bagi meningkatkan keberkesanan Suruhanhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
“Perkara ini akan diteliti oleh pihak berkaitan bagi tindakan yang sewajarnya,” katanya dalam jawapan bertulis persidangan Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang dikemukakan Gobind Singh Deo (PH-Damansara) dengan meminta Perdana Menteri menyatakan adakah kerajaan berhasrat membawa SPRM ke bawah bidang kuasa Parlimen dan bukannya lagi di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Azalina menambah, kerajaan komited dalam memastikan Parlimen bebas daripada kuasa eksekutif dan usaha transformasinya juga penting bagi mengekalkan demokrasi dan
kebebasan bersuara.
Jelas beliau, buat masa ini, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri bersama-sama dengan Jabatan Peguam Negara sedang memuktamadkan Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen untuk menjadikan perkhidmatan Parlimen
berasingan daripada perkhidmatan awam yang dikenali sebagai perkhidmatan Parlimen.
“Pemberian kuasa autonomi kepada Parlimen melalui penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen ini amat penting dan merupakan satu progres yang baik dalam memartabatkan doktrin pengasingan kuasa antara Badan Perundangan dan Badan Eksekutif.
“Memorandum Jemaah Menteri mengenai perkara ini akan dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
“Ahli Jawatankuasa Pemilih telahpun diluluskan oleh Majlis Dewan Rakyat pada 14 Februari lalu. Jawatankuasa Pemilih akan meneliti cadangan mengenai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang akan datang dan peranan berkaitan,” katanya dalam jawapan bertulis.
Beliau menjawab Wong Kah Woh (PH-Taiping) yang bertanya sama ada kerajaan bersedia menggubal Akta Perkhidmatan Parlimen seperti yang telah dicadangkan sebelum ini dan apakah tindakan yang akan diambil oleh Kerajaan untuk memperkasakan peranan
Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang bakal ditubuhkan. – MalaysiaGazette