Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa. Foto HAZROL ZAINAL, 03 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) akan memastikan Pelan Tindakan Ke Arah Penghapusan Kanser Serviks di Malaysia 2021-2030 mencapai matlamat dengan menggariskan tiga matlamat merangkumi liputan vaksin dan saringan kesihatan.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, KKM sedang menyasarkan sekurang-kurangnya 90 peratus liputan vaksinasi HPV bagi kanak-kanak perempuan sebelum mereka berusia 15 tahun.

Selain itu, beliau berkata, KKM juga berharap akan mencapai sekurang-kurang 70 peratus liputan saringan bagi wanita berusia 35 dan 45 tahun menggunakan kaedah terkini yang terbukti berkesan secara saintifik, sekurang-kurang dua kali seumur hidup.

“KKM juga menyasarkan sekurang-kurang 90 peratus wanita yang positif, mendapat intervensi dan rawatan awal bagi prakanser,” katanya.

Jawapan itu dibaca olej Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang mewakili beliau pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakya di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) mengenai prestasi KKM dalam melancarkan aktiviti dan program mencegah kanser serviks, selaras dengan Pelan Tindakan Ke Arah Penghapusan Kanser Serviks di Malaysia 2021-2030.

Fadhlina sebelum ini, memaklumkan, beliau mewakili Dr Zaliha kerana Ahli Parlimen Sekijang, Johor itu perlu menguruskan hal kecemasan berikutan banjir kilat yang berlaku di kawasannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast