Laluan di KM 73 Jalan Kuantan-Segamat yang mendap dan berlubang. foto IPD Pekan

KUANTAN – Laluan di KM 73 Jalan Kuantan-Segamat (penanda burung unta) ditutup kepada semua pengguna kerana berlaku mendapan dan hakisan tanah susulan hujan lebat sepanjang hari semalam.

Ibu Pejabat Polis Pekan dalam kenyataannya berkata, setelah mendapat penilaian keselamatan penggunaan laluan tersebut daripada JKR Daerah Pekan, laluan akan ditutup secara berperingkat kepada semua jenis kenderaan dan pengguna jalan raya.

Penutupan jalan sepenuhnya bermula hari ini sehingga kerja-kerja pembaikan selesai dijalankan.

Bagaimanapun, orang ramai boleh menggunakan beberapa laluan alternatif iaitu dari arah Kuantan – lampu isyarat Paloh Hinai – Jalan Batu Balik – Pekan dan Jalan Segamat- Muadzam-Leban Condong- Nenasi.

Tanda-tanda amaran dan isyarat sedang dipasang oleh pihak JKR dan pihak kontraktor.
Ketua Polis Daerah Pekan menasihati semua pengguna jalan raya mematuhi tanda-tanda arahan yang dipasang dan berhati-hati semasa memandu.
Maklumat terkini boleh didapati dari Bilik Gerakan IPD Pekan di talian 09-4221999. – MalaysiaGazette