KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa (MHO) melahirkan rasa terkejut dengan aduan terbaru kepada organisasi itu berkaitan penipuan dalam pembelian Saham Boleh Tebus Islam (Islamic Redeemable Shares – PRS-i).

Aduan itu dibuat ke atas sebuah syarikat Berhad yang didakwa disenarai di Bursa Malaysia.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya didatangi lebih 300 orang membuat aduan yang didakwa terpedaya dengan pembelian saham itu.

“Saya tidak mahu sebut nama syarikat tersebut tapi sememangnya agak mengejutkan. Sebelum saya buat pendedahan tentang perkara ini, MHO sudah berkunjung ke syarikat berkenaan dan mengadakan perjumpaan dengan pihak pengurusan namun pertemuan itu tidak hasilkan apa-apa.

“Untuk makluman, MHO telah menerima 330 mangsa berhubung pembelian saham melalui RPS-i ini. Pengadu-pengadu memaklumkan bahawa mereka telah diperkenalkan dengan suatu tawaran pembelian saham pada tahun 2021 atas sebuah syarikat berhad.

“Malahan syarikat itu juga mendakwa kepada para pembeli bahawa mereka telah memaklumkan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia melalui ‘Information Memorandum’ bahawa jumlah minimum RPS-i yang dijual adalah sebanyak 250,000 unit dengan nilai RM1.00 seunit.

“Manakala bagi pembelian kurang daripada 250,000 unit pula memerlukan pembeli itu membeli melalui sebuah syarikat pengumpul dana pelaburan yang telah dilantik oleh syarikat itu sendiri. Beberapa pakej juga telah diperkenalkan bagi menarik perhatian mangsa,” katanya.

Menurut Hishamuddin, para pelabur dijanjikan dengan pulangan dividen sehingga 18 peratus setahun dan/atau 1.8 peratus setiap bulan.

Tambah beliau, masalah timbul apabila pelabur tidak menerima bayaran dividen seperti yang dijanjikan bermula Mei 2022.

Kata beliau, syarikat itu kemudian memaklumkan kepada pelabur bahawa ia akan melakukan penembusan awal (early redemption) dengan membeli semula saham terbabit.

“Tetapi kemudian beberapa memo dikeluarkan oleh syarikat berkenaan bahawa mereka masih memerlukan masa tambahan untuk menyelesaikan isu tersebut bagi early redemption dengan adanya pembayaran tertunggak dan juga pampasan mangsa.

“Namun demikian sejak Mei tahun lalu sehingga sekarang tidak ada apa-apa,” ujarnya. 

Dalam pada itu, kata Hishamuddin berkata, MHO berjaya mendapatkan kerjasama semua mangsa untuk melakukan laporan polis pada Sabtu ini. – MalaysiaGazette