KUALA LUMPUR – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengesahkan masih terdapat usaha untuk menguburkan parti itu di Sabah.
Jelasnya, usaha itu dapat dilihat menerusia aktiviti membeli Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dengan menawarkan habuan.
“Usaha itu (menguburkan UMNO) pun ada tetapi sebetulnya saya katakan UMNO ini bukanya sebuah parti, ianya sebuah perjuangan,” katanya di Menara Dato’ Onn, hari ini.
Bung Moktar berkata, ia dibuktikan apabila seramai lima ADUN UMNO bertindak melompat dan menyokong kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Parti-parti yang lain ini dibentuk atas berbagai-bagai faktor yang tidak dapat kita ilhamkan, pertama parti ini dibentuk atas lompatan yang begitu banyak.
“Dua tiga kali lompatan membentuk parti, jadi ini berlaku di mana pembelian semua pemimpin di Sabah tetapi akhinya tidak berkekalan lama sebab saya yakin parti yang dibentuk atas dasar tamak haloba ingin kuasa semata-mata tanpa memikirkan kepentingan rakyat tidak akan betahan lama,” katanya.
Pada 6 Januari lalu, Bung Moktar mengumumkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah menarik balik sokongan kepada pentadbiran bawah pimpinan Hajiji sebagai Ketua Menteri.
Namun, lima ADUN daripada UMNO Sabah enggan menyokong langkah itu.
Mereka adalah Timbalan Ketua Bahagian UMNO Tuaran, Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit); Datuk Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat); Datuk James Ratib (Sugut); Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin) dan Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk).
Dalam pada itu, Bung Moktar yang juga calon Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berpandangan pemilihan parti yang sedang berlangsung merupakan platform untuk mengukuhkan semula parti.
Beliau berkata, ia dicerminkan dengan penglibatan pelbagai pimpinan muka baharu dan lama yang mengemukakan nama masing-masing bagi mengisi jawatan dalam parti.
“Pemilihan kali ini dalam jawatankuasa UMNO ini saya nampak di mana jawatan-jawatan penting pun banyak bertanding, jawatan di bahagian ketua bahagian di Sabah ada sampai enam yang bertanding bermakna UMNO ini bukan kesunyian.
“Walaupun orang kata UMNO sudah lemah, kehilangan sokongan tetapi melihat bahawa di bawah keyakinan dan kepercayaan ahli di bawah itu amat tinggi kepada UMNO,” ujarnya. – MalaysiaGazette