KUANTAN – Kerajaan negeri tekad untuk memajukan sekolah-sekolah menengah agama di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dari semasa ke semasa supaya setanding dengan sekolah-sekolah harian biasa.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelbagai usaha dilakukan bagi memelihara institusi pendidikan agama itu dalam meneruskan peranannya dalam menyebarkan dakwah Islam di negeri ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri meluluskan pelantikan 100 perjawatan guru secara kontrak bagi memenuhi keperluan perjawatan guru di sekolah agama  di negeri ini pada tahun lalu dengan melibatkan peruntukan lebih RM3.5 juta setahun.

“Perlantikan itu  salah satu usaha untuk mengukuhkan institusi sekolah menengah agama Kerajaan Negeri Pahang dengan membekalkan sejumlah keupayaan tenaga manusia bagi meneruskan penyebaran Islam dan memantapkan Pengurusan Hal Ehwal Islam dalam masyarakat.

“Bagi mencapai hasrat itu, pelbagai aspek akan dilaksanakan antaranya kemudahan fizikal, kurikulum, keperluan perjawatan termasuk lantikan  guru-guru di sekolah agama.

“Pada tahun 2022, Pahang telah meluluskan pelantikan 100 perjawatan guru kontrak perkhidmatan Service (COS) bagi memenuhi keperluan perjawatan guru di sekolah agama yang melibatkan peruntukan lebih RM3.5 juta  setahun,” katanya.

Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan anugerah Tokoh Guru pada Majlis Pelancaran Pelan Strategik JAIP 2023-2027 dan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sekolah Menengah Agama Kerajaan Pahang Kali Ke-21 tahun 2021/2022 hari ini

Katanya, pada setiap tahun, kerajaan negeri memperuntukkan lebih daripada RM65 juta  bagi membiayai emolumen, penyelenggaraan dan pembaikan (bangunan), peralatan beserta kelengkapan prasarana sekolah dan melaksanakan projek-projek pembangunan baharu sekolah.

Kerajaan negeri juga turut memperuntukkan RM360,000 setiap tahun bagi pembiayaan Majlis Sukan dan Ilmiah Sekolah-Sekolah Menengah Agama Kerajaan Negeri Pahang (MASISUPA) bagi peringkat zon dan peringkat pusat.

Wan Rosdy berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Strategik JAIP 2023-2027 dan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sekolah Menengah Agama Kerajaan Pahang Kali Ke-21 tahun 2021/2022 hari ini.

Tambah Wan Rosdy Pelan Strategik Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) 2023-2027 dilihat mampu memperkasa semua institusi di bawah jabatan itu dengan lebih sistematik dan menyeluruh.

Ini kerana katanya, pelan strategik adalah komponen terpenting dalam usaha merangka dan merancang dasar, menentukan program dan tindakan bagi mencapai matlamat agensi dan seterusnya menyumbang kepada pencapaian agenda perkhidmatan awam dan negara.

Beliau berkata dengan adanya pelan strategik yang komprehensif ini, semua institusi di bawah Jaip termasuk Pejabat Agama Islam Daerah (PAID), Masjid Negeri, Masjid Daerah dan Sekolah Agama Kerajaan Pahang dapat diperkasakan. – MalaysiaGazette