Soffian (tengah) menunjukkan pistol serta dadah yang dirampas pihaknya daripada pasangan suami isteri di Gelugor di sini.

GEORGE TOWN – Kegiatan sepasang suami isteri mengedar dadah sejak Jun tahun lalu berjaya dibongkarkan selepas kedua-dua mereka ditahan dalam serbuan berasingan di sebuah apartmen di Gelugor di sini, pada 23 Februari lalu.

Suspek berusia 46 tahun itu ditahan pekarangan apartmen berkenaan bersama dua paket syabu seberat 51 gram pada jam 11.45 malam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, berpandukan maklumat daripada suspek pihak polis menyerbu sebuah unit kediaman di apartmen berkenaan sebelum menahan isterinya berusia 43 tahun.

Soffian.

Katanya, hasil pemeriksaan dalam rumah itu membawa kepada penemuan dadah jenis syabu, heroin dan sepucuk Revolver serta empat butir peluru.

“Hasil siasatan mendapati pasangan berkenaan dipercayai bergiat aktif sejak pertengahan 2022 dan dadah tersebut dijual untuk pasaran Pulau Pinang.

“Secara keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM30,900 dan ia boleh digunakan oleh seramai 3,040 penagih dadah.

“Selain itu, siasatan awal mendapati pistol tersebut tidak digunakan bagi kegiatan jenayah namun senjata itu sudah dihantar bagi menjalani ujian balistik dan jabatan kimia,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Soffian berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah serta mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Pasangan itu direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960,” kata Soffian. – MalaysiaGazette