Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

KOTA BHARU – Perikatan Nasional (PN) akan membuat keputusan dalam masa terdekat berhubung permohonan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) untuk menyertai gabungan mereka, kata Ahli Majlis Tertinggi PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Takiyuddin, yang juga Setiausaha Agung Pas berkata, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membawa permohonan berkenaan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu nanti yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.

“Sebenarnya ada dua permohonan ingin sertai PN iaitu Pejuang dan Berjasa, namun tarikh mesyuarat masih belum diketahui bagi memutuskan keputusan mana-mana parti yang memohon menyertai PN,” katanya kepada pemberita selepas Program Prihatin Kota Bharu Cakna Kota Lama, di sini, hari ini.

Terdahulu, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir telah menghantar surat permohonan untuk menyertai PN kepada Muhyiddin semalam  dan turut diberikan kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau.

Menurutnya, keputusan untuk membuat permohonan berkenaan telah disepakatkan Majlis Eksekutif Pusat (MEP) Pejuang kelmarin selepas penelitian semua opsyen gabungan dan kerjasama politik yang ada. – Bernama