Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf

KUANTAN – Seramai 394 individu, termasuk remaja berusia 14 tahun, ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dalam 252 serbuan Op Tapis Khas yang bermula 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sebanyak 462 pemeriksaan dalam operasi berkenaan.

“Daripada 394 individu yang ditangkap, 371 daripadanya adalah lelaki dan empat perempuan manakala selebihnya merupakan warga asing.

“Kesemua yang ditahan dalam lingkungan umur 14 hingga 63 tahun.

“Sektor pekerjaan utama mereka yang ditahan adalah buruh dan pekerja ladang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Ramli, polis turut merampas 106.02 gram heroin, 40gram syabu, 13.38 gram ganja dan 29.10 liter air ketum yang dianggarkan berjumlah RM10,000.

Selain itu, tambah beliau, dua buah motosikal bernilai RM8,406 turut dirampas.

Ops Tapis Khas yang dijalankan secara serentak di 11 daerah di negeri ini, menumpukan kawasan Felda dan rumah kediaman yang telah dikenal pasti. – MalaysiaGazette