Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid diiringi Ketua Pengarah Risda, Datuk Abdullah Zainal menyempurnakan gimik pelancaran Tahun Peningkatan Produktiviti dan Pendapatan Pekebun Kecil Jubli Emas RISDA pada Majlis Perhimpunan Bulan Mac Kementrian Kemajuan Desa dan Wilayah di Ibu Pejabat Risda, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 02 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Peruntukan berjumlah RM676.4 juta kepada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) pada Belanjawan 2023 bertujuan memastikan kesejahteraan pekebun kecil getah di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan yang ditetapkan kepada RISDA tahun ini mengambil kira strategi komprehensif melalui lima komponen utama yang telah digariskan.

Komponen utama tersebut meliputi pembangunan kawasan bertanam getah, peningkatan produktiviti dan pembangunan pekebun kecil, pembangunan semula hasil baharu, rawatanpenyakit luruhan daun serta Bantuan Musim Tengkujuh (BMT).

“Kesemua program ini dirangka bagi memastikan pekebun kecil dapat memajukan kebun getah dengan subsidi utama sehektar RM 13,710 bagi kawasan Semenanjung, RM 14,805 bagi Negeri Sarawak dan RM 14,955 bagi Negeri Sabah,” katanya dalam ucapan Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di RISDA, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang dan Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Seri Ramlan Harun.

Dalam majlis sama, Ahmad Zahid turut melancarkan Tahun Meningkatkan Pendapatan dan Produktiviti Pekebun Kecil yang akan memfokuskan kepada peningkatan pendapatan produktiviti hasil lateks, pembangunan keusahawanan serta program agromakanan yang bakal memanfaatkan lebih 500,000 pekebun kecil di seluruh negara.

Ke arah itu, RISDA menyediakan penetapan zon pengeluaran lateks bagi membantu meningkatkan produktiviti getah kepada 1,800 kilogram bagi setiap hektar setahun.

“Setakat ini saya dimaklumkanĀ  RISDA telah membina 51 unit depoh pengumpulan lateks untuk penjualan hasil lateks dengan kaedah pemasaran berkelompok secara jualan terus ke kilang.

“Saya menyarankan agar RISDA mensasarkan penambahan sebanyak 15 unit depo untuk manfaat kepada 7,000 orang pekebun kecil di seluruh negara pada tahun ini,” katanya lagi.

Kata Ahmad Zahid, dengan penghasilan lateks, ia mampu untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil sebanyak 30 peratus disebabkan harga lateks boleh mencecah RM6.37 sekilogram berbanding harga getah sekerap yang hanya pada harga RM2.41 sekilogram.

“Usaha meningkatkan taraf pendapatan pekebun kecil dan isi rumah tidak hanya sekadar meningkatkan produktiviti hasil daripada kebun sahaja.

“Oleh itu, pelan pelaksanaan program keusahawanan pekebun kecil dirancang dengan fokus bagi melahirkan usahawan bimbingan RISDA yang berdaya maju dalam pelbagai bidang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette