Khoo Poay Tiong.

KUALA LUMPUR – Isu Ahli Parlimen yang masih berdegil merokok di ruang legar bangunan Parlimen ditimbulkan memandangkan premis itu adalah kawasan larangan merokok.

Ahli Parlimen yang membangkitkan isu itu, Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) turut mendedahkan terdapat ramai Ahli Parlimen yang bukan sahaja merokok di kawasan itu bahkan di dalam bilik Whip Ahli Parlimen.

Justeru, beliau menasihat tanggungjawab semua Ahli Parlimen, sama ada kerajaan atau pembangkang untuk menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat dengan mematuhi peraturan dan undang-undang pada setiap masa.

“Saya nak minta perhatian Timbalan Menteri Kesihatan. Kita jangan pergi terlalu jauh, kita tumpu pada bangunan Parlimen ini. Ramai yang masih merokok sungguh pun bangunan Parlimen adalah kawasan larangan rokok. Saya lihat di bilik Whip, ramai yang merokok dalam bilik Whip.

“Saya rasa kita harus tunjuk contoh yang baik. Kita adalah wakil rakyat. Kalau nak merokok, pergi ke luar sana (di kawasan dibenarkan merokok,” katanya ketika sesi jawab lisan apabila bangun bertanyakan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni di Dewan Rakyat di sini hari ini. – MalaysiaGazette