KUALA LUMPUR – Ganja seberat 4,928 gram bernilai RM12,320 dirampas dalam dua serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, dalam serbuan pertama ke atas tiga lelaki berumur di antara 25 hingga 27 tahun di kawasan parkir kondominium di Sri Damansara.

Manakala tiga lagi lelaki tempatan 25 hingga 31 tahun ditangkap disebuah rumah di Sungai Buloh.

“Serbuan pertama di dalam kereta pada 6.30 petang berjaya menemukan dua ketulan mampat daun-daun kering disyaki dadah jenis ganja seberat 2,035 gram. Ujian saringan awam mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis Tetrahdrocannbinol. Salah seorang suspek mempunyai satu rekod jenayah di bawah Seksyen 3(1) APD 1983.

“Serbuan kedua pada 7.45 malam dadah jenis ganja sebera 2,893 gram dijumpai, turut disita tiga buah kenderaan jenis Isuzi D-Max, Proton Saga dan Perodua Myvi,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut beliau, dadah berkenaan untuk dijual kepada lebih kurang 100 pengguna.

Mohamad Fakhrudin berkata, nilai keseluruhan sitaan daripada kedua-dua serbuan adalah sebanyak RM117,000.

Sementara itu beliau berkata, keenam-enam suspek direman tujuh hari bermula hari tangkapan.

Semua suspek disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah disebat tidak kurang 15 kali.-MalaysiaGazette