Mohd Fared  Mohd Khalid membuat tinjauan banjir di SJKC Yong Peng 1 bersama lawatan Menteri Besar Johor,Datuk Onn Hafiz Ghazi di Yong Peng hari ini.

YONG PENG – Masjid-masjid utama di kawasan terjejas banjir di Johor kini sudah dibuka sebagai pusat penempatan sementara (PPS).

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Johor, Mohd Fared  Mohd Khalid berkata, langkah itu sebagai pelan segera yang diambil bagi menampung pertambahan tinggi penduduk terkesan banjir dan kesesakan di PPS.

Pembukaan masjid utama itu dibuka sebagai PPS dengan garis panduan disediakan bagi terus mengekalkan kemuliaan masjid.

“Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) membantu kerjaaan negeri apabila kita melihat keperluan penambahan PPS sebab ada beberapa kawasan PPS sedia ada tidak mampu menampung.

”Saya kena mengaku ada sebahgaian penduduk kita yang terpaksa bermalam dalam kereta malam tadi.

“Bukan salah siapa tapi air naik dengan cepat, mereka berpindah segera dan kebetulan PPS tidak dapat menampung. Untuk maksud itu MAINJ membantu kerajaan negeri untuk membuka masjid dikawasan terbabit untuk PPS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di SJKC Yong Peng 1 bersama lawatan Menteri Besar Johor,Datuk Onn Hafiz Ghazi di Yong Peng hari ini.

Setakat ini tujuh masjid utama dibuka iaitu empat di Masjid Parit Sulung dan tiga masjid di Parit Yaani dan Batu Pahat.

“Antaranya Masjid Pekan Seri Medan,Masjid Parit Jayus,Masjid Parit Baru dan Masjid Simpang Tiga di Parit Sulong.

“Manakala di Parit Yaani membabitkan Masjid Kampung Parit Betong,Masjid Kampung Parit Jambi dan Masjid Parit Endin 3,” katanya.

Dijangkakan akan ada pertambahan masjid yang dijadikan PPS jika hujan berterusan melanda Johor.

Banjir di Johor dikatakan semakin membimbangkan apabila seramai 33,149 mangsa ditempatkan di 217 pusat pemindahan sementara (PPS) yang telah dibuka di seluruh Johor, hari ini.

Jumlah mangsa banjir terus menunjukkan peningkatan berbanding seramai 28,486 mangsa di 198 PPS setakat pukul 8 malam, semalam.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani memberitahu, jumlah mangsa terkini itu terdiri daripada sebanyak 7,997 buah keluarga.

Kesemua 10 daerah di negeri ini terjejas akibat banjir disebabkan hujan berterusan yang telah memasuki hari ketiga dengan daerah yang menempatkan paling ramai mangsa adalah Segamat dengan seramai 12,186 mangsa.-MalaysiaGazette

Caption:Farid ketika membuat tinjauan banjir ketika ditemui di SJKC Yong Peng 1 bersama lawatan Menteri Besar Johor,Datuk Onn Hafiz Ghazi di Yong Peng hari ini.