Pihak berkuasa giat melakukan rondaan di kawasan dinaiki air bagi memastikan pertolongan dapat diberikan kepada mangsa berkemungkinan terperangkap.

JOHOR BAHRU – Banjir di Johor semakin membimbangkan apabila seramai 33,149 mangsa ditempatkan di 217 pusat pemindahan sementara (PPS) yang telah dibuka di seluruh Johor, hari ini.

Jumlah mangsa banjir terus menunjukkan peningkatan berbanding seramai 28,486 mangsa di 198 PPS setakat pukul 8 malam, semalam.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani memberitahu, jumlah mangsa terkini itu terdiri daripada 7,997  keluarga.

Kesemua 10 daerah di negeri ini terjejas akibat banjir disebabkan hujan berterusan yang telah memasuki hari ketiga.

Mangsa banjir paling ramai dari daerah Segamat seramai 12,186 orang diikuti Kluang (5,174); Batu Pahat (4,340); Kota Tinggi (3,689); Muar (2,829); Tangkak (1,999); Johor Bahru (1,216); Mersing (722); Kulai (630) dan Pontian (364).

“Sejak bencana banjir melanda negeri ini, tiga penduduk telah dilaporkan lemas.

Mereka ialah K. Sarathkumar yang menetap di Kluang, dan Lee Amo Yee serta Tan Sue Ke di Segamat.

“Sarathkumar dipercayai maut dalam kenderaan selepas kenderaannya dihanyutkan arus deras ketika dalam perjalanan, manakala Amo Yee dan Sue Ke dilaporkan lemas,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Katanya lagi, laporan Jabatan Meteorologi Malaysia pula menunjukkan sebahagian besar negeri ini berada di bawah amaran buruk dengan amaran hujan berterusan, manakala Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Pontian pula menunjukkan amaran waspada.

Dalam pada itu, tambah beliau, terdapat 10 laluan yang telah ditutup untuk semua jenis kenderaan antaranya Jalan Felda Kemelah, Jalan Felda Pemanis, Felda Medoi, Jalan Johor Bahru-Seremban; Jalan Senai-Gemas dan Jalan Muar-Tangkak.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast