KUALA LUMPUR – Polis telah merakam keterangan 10 individu untuk menyiasat isu al-Quran yang dibuang ke dalam longkang di Tasik Sri Murni Jinjang.

Dalam masa yang sama Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, syarikat yang telah mencetak al-Quran berkenaan telah dikenalpasti.

“Kita masih meneruskan siasatan, pasukan siasatan telah ke Kelantan untuk mengenal pasti syarikat yang mencetak dan membuat tempahan. Setakat ini kita telah merakam percakapan 10 individu,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK), Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat memberi peluang pihak polis melengkapkan siasatan tanpa sebarang spekulasi yang tidak berkenaan.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beg Eng Lain mengesahkan sebanyak 13 naskah al-Quran dijumpai dalam longkang berkenaan dan [erbuatan itu dipercayai dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Penemuan berkenaan hasil daripada aduan seorang wanita tempatan berusia 52 tahun yang juga Ahli Kesatuan Nelayan Kebangsaan.- MalaysiaGazette